KUALA LUMPUR, 18 Okt – Malaysia dengan tegas mengutuk serangan biadab dan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel terhadap Hospital Syuhada Al-Aqsa di Deir el-Balah dan pengepungan haram di Kem Pelarian Jabalia.
Kementerian Luar Negeri menegaskan, imej ngeri mangsa dibakar dalam keadaan masih hidup hanyalah sebahagian kecil daripada jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid berterusan yang dilakukan rejim Zionis Israel di Gaza.
“Imej-imej ini mencerminkan kempen keganasan yang jelas bertujuan untuk memusnahkan rakyat Palestin dan menjadikan Gaza tidak lagi dapat didiami,” jelas kementerian dalam kenyataan pada Khamis.
Wisma Putra turut menyatakan, malapetaka kemanusiaan di Gaza mencapai tahap yang tidak masuk akal.
Namun, rejim Zionis Israel terus melancarkan serangan tanpa henti dan secara sewenang-wenangnya melakukan pembunuhan beramai-ramai sambil menghalang usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian damai.
“Malaysia sekali lagi menyeru supaya genosid di Gaza segera dihentikan. Kegagalan bertindak dalam menghadapi kekejaman ini dianggap sebagai bentuk persetujuan dan mengancam sebarang harapan yang tersisa untuk keamanan,” tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, Malaysia menuntut agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan tanggungjawabnya yang termaktub dalam Piagam PBB dengan mendakwa rejim Zionis Israel atas tindakan mereka serta memastikan undang-undang antarabangsa dipatuhi bagi mengakhiri impunitas Israel.
“Malaysia akan terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat sepenuhnya berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,
“Sokongan penuh Malaysia terhada Palestin juga melibatkan usaha mereka untuk menjadi anggota penuh PBB,
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam usaha mereka mencapai kebebasan, maruah dan keadilan dan akan terus memperjuangkan hak mereka di pentas global,” tambah kenyataan itu.-airtimes.my
#Palestin #Gaza #Malaysia #airtimes #semasa


