KANGAR, 16 Okt – Rejimen Renjer Diraja (RRD) perlu melaksanakan transformasi menyeluruh dengan segera bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan, selari dengan pembangunan Angkatan Masa Hadapan.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, pembangunan dan perolehan kelengkapan terkini perlu bergerak seiring dengan pembentukan pemikiran setiap warga RRD.
“Sejajar dengan keperluan kor elemen tempur, transformasi menyeluruh perlu dilaksanakan dengan segera,
“Ingin saya tekankan bahawa, hasrat murni untuk membawa transformasi ini hendaklah bersandarkan kepada konsep keseimbangan. Ini bermakna pembangunan dan perolehan kelengkapan terkini perlu bergerak seiring dengan pembentukan pemikiran setiap warga,
“Dalam erti kata lain ‘peralatan kelas pertama perlu diiringi dengan mentaliti kelas pertama’,” titah baginda pada Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Batalion Pertama dan Kedua Rejimen Renjer Diraja di Kem Bukit Cowder, hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, Rejimen Renjer Diraja merupakan entiti pertahanan negara yang amat rapat dengan baginda sejak 25 tahun lepas. Foto: TDM
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid serta Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sehubungan itu, Raja Perlis yang juga Kolonel Yang DiPertua RRD bertitah, bertitah kepimpinan kor hendaklah mengambil pendekatan beriltizam bagi menyediakan pelan reformasi ke arah melahirkan anggota yang mampu mengadaptasi keperluan tugas dan mencapai standard yang ditetapkan.
“Bermula dari proses pemilihan, latihan mahupun perkembangan kerjaya, penekanan haruslah berasaskan kepada tahu mengapa (know why) dan tahu bagaimana (know how),
“Saya yakin dan percaya hasrat kor ini untuk terus berdiri megah sebagai satu elemen tempur di bawah kerangka Angkatan Masa Hadapan yang bersepadu, tangkas dan berfokus dapat menjadi kenyataan,” titah baginda lagi.
Raja Perlis turut bertitah RRD merupakan entiti pertahanan negara yang amat rapat dengan baginda sejak 25 tahun lepas.
Baginda bertitah bahawa baginda peka kertas putih pertahanan yang diterbitkan sejak 5 tahun lepas merupakan satu usaha bersepadu kerajaan dalam mengukuhkan pertahanan negara.

Panji-Panji Rejimen yang baharu kemudiannya diarak serta turut diperkenalkan sebagai satu tradisi bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mengenali Panji-Panji keagungan Rejimen. Foto: TDM
Terdahulu, Raja Perlis berkenan menyaksikan perbarisan istiadat yang terdiri daripada 31 pegawai dan 378 anggota yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD), Leftenan Kolonel Salrafeehasleizad Salih dan Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD), Leftenan Kolonel Ahmad Faizal Abdul Latif.
Raja Perlis turut berkenan bercemar duli menyempurnakan upacara menepung tawar Panji-Panji sebagai simbolik pentauliahan Panji-Panji baharu diikuti penyematan selempang Panji-Panji kepada Pegawai Panji-Panji dan lafaz ikrar oleh Ketua Perbarisan dan dipersembahkan Watikah Ikrar kepada Kolonel Yang DiPertua RRD.
1 RRD yang gah dengan gelaran ‘Sarawak Ranger’, telah dianugerahkan Panji-Panji pada 8 Oktober 1979 bertempat di Kem Terendak, Melaka.
Pada hari ini, menyaksikan pertukaran Panji-Panji buat kali kedua untuk Sarawak Ranger.
Sementara itu, 2 RRD, terkenal dengan gelaran ‘Sabah Ranger’, telah dianugerahkan Panji-Panji pada 27 November 2000 dan ini merupakan pertukaran Panji-Panji kali kedua buat ‘Sabah Ranger’.- airtimes.my
