Home Pertahanan dan Keselamatan Latihan PERHEBAT diubahsuai, jamin kerjaya kedua pesara tentera – Khaled Nordin

Latihan PERHEBAT diubahsuai, jamin kerjaya kedua pesara tentera – Khaled Nordin

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil langkah proaktif untuk memastikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat menikmati kerjaya kedua yang stabil dan relevan selepas bersara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, pihaknya telah mengenal pasti 3 pendekatan utama bagi mencapai matlamat ini, dengan menekankan latihan peralihan melalui PERHEBAT dan inisiatif lain.

Menurut Mohamed Khaled, PERHEBAT yang bertanggungjawab mengendalikan latihan peralihan kepada anggota ATM yang akan bersara, memainkan peranan penting dalam melengkapkan mereka dengan kemahiran keusahawanan, teknikal, dan vokasional.

Jelasanya, latihan yang berlangsung antara 3 hingga 18 bulan, akan diubahsuai untuk memenuhi keperluan pasaran semasa.

Pendekatan baru ini melibatkan kerjasama Strategik, dimana PERHEBAT akan menjalin hubungan erat dengan industri bagi memastikan latihan yang diberikan sesuai dengan kehendak pasaran pekerjaan.

“Modul praktikal iaitu latihan peralihan yang akan memberi fokus kepada aspek praktikal yang berasaskan industri, berbanding teori semata-mata,

“Kolaborasi intensif dengan industri iaitu PERHEBAT akan meningkatkan penglibatan pihak industri, terutamanya entiti dalam ekosistem MINDEF serta syarikat yang menerima kontrak kerajaan,

“Sebagai langkah tambahan, para pelatih tidak lagi hanya ditempatkan di pusat latihan, tetapi akan diserap terus ke dalam syarikat atau pasaran pekerjaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh) yang menyatakan apakah usaha-usaha MINDEF dalam menentukan veteran tentera mendapat kerjaya kedua setelah menamatkan perkhidmatan selama 21 tahun.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pihaknya kini sedang mentransformasikan PERHEBAT daripada sekadar penyedia latihan kepada badan yang menghubungkan pesara tentera secara proaktif dengan pasaran pekerjaan.

Beliau menegaskan, bahawa usaha ini bertujuan untuk memastikan pesara dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan majikan dan pasaran semasa.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, MINDEF juga sedang dalam peringkat akhir untuk memperkenalkan Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL).

Jelasnya, program ini yang dijangka dilaksanakan tahun hadapan, bertujuan memberi peluang kepada anggota ATM untuk memperoleh diploma atau ijazah berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang mereka miliki.

“Seperti yang kita tahu, kebanyakan anggota tentera menyertai perkhidmatan dengan kelayakan SPM sahaja dan mereka meninggalkan perkhidmatan 21 tahun kemudian juga dengan tahap kelayakan yang sama,

“Melalui inisiatif WBL ini, MINDEF mensasarkan peningkatan daya saing serta kebolehpasaran anggota dengan memastikan mereka meninggalkan perkhidmatan dan menjadi pesara yang mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan diploma,” ujarnya lagi.

Dengan inisiatif-inisiatif ini, MINDEF komited untuk memberikan sokongan menyeluruh kepada pesara tentera, memastikan mereka mempunyai peluang yang lebih cerah dalam pasaran pekerjaan selepas bersara.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #PERHEBAT #veteranATM #Malaysia

Leave a Reply