Home SemasaSaifuddin: Ahli GISBH masih amal ajaran Al-Arqram

Saifuddin: Ahli GISBH masih amal ajaran Al-Arqram

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah, yang merupakan amalan dalam Al-Arqam yang diisytiharkan sesat sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penemuan ini diperolehi daripada hasil pengakuan individu yang ditahan oleh pihak berkuasa.

“Saya ingin mengesahkan siasatan polis setakat ini, ada pengakuan bahawa amalan terhadap ajaran Aurad Muhammadiah masih dilakukan oleh kalangan yang kita tangkap dan siasat,

“Kalaupun ada kenyataan di luar yang menyebut bahawa mereka tidak lagi mengamalkan itu, itu kenyataan mereka. Kita hanya akan bercakap berasaskan kepada butiran dan dapatan siasatan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan menteri bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i) mengenai perkembangan dan tindakan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan isu GISBH.

Semalam, media tempatan melaporkan, anak perempuan pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad menafikan dakwaan GISBH mengamalkan amalan bertentangan ajaran Islam.

Khaulah Asaari berkata, ahli GISBH sudah bertaubat dan tidak lagi mengamalkan ajaran Al-Arqam, pertubuhan agama difatwakan sesat dan diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, tiada motif politik oleh kerajaan dalam mengendalikan kes GISBH.

Tegasnya, isu GISBH merupakan satu jenayah yang dilakukan terhadap kanak-kanak.

“Kita menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan undang-undang sedia ada, sebelum membuat kesimpulan atau penilaian,

“Yang jelas tiada motif politik sama sekali dalam kerajaan mengendalikan kes ini dan jenayah terhadap kanak kanak berlaku,” ujarnya lagi.

Pada bulan lalu, polis melakukan serbuan di sekurang-kurangnya 20 rumah amal bawah GISBH dan menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Sementara itu, Saifuddin turut berkata, 80 kertas siasatan itu membabitkan Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Kanun Keseksaan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply