Home Semasa Garisan Biru: Kawasan sempadan Lubnan-Israel yang dikawal UNIFIL

Garisan Biru: Kawasan sempadan Lubnan-Israel yang dikawal UNIFIL

by Suraya Aziz

7 Jun 2000, merupakan tarikh di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan sempadan yang dikategorikan sebagai kawasan Blue Line atau Garis Biru di antara Lubnan-Israel.

Garis ini merupakan sempadan pemisah antara dua wilayah yang sering menjadi medan persengketaan Hizbullah dan Israel sejak Perang Lubnan Pertama pada tahun 1978.

Mengulas lanjut, garis ini diperkenalkan selepas pengunduran Israel susulan Perang Saudara Lubnan (1982-2000) dan bertujuan memisahkan tentera Israel daripada mencerobohi kawasan Lubnan, khususnya di selatan negara itu.

Ketegangan ini sudah bermula selama lebih dua dekad iaitu ketika Israel melancarkan serangan terhadap Lubnan dan menubuhkan Tentera Selatan Lubnan (SLA) sebagai wakil untuk mengawal selatan Lubnan.

Bagaimanapun, serangan SLA yang dibantu Israel terbabit berjaya ditewaskan Hizbullah, organisasi berpengaruh secara politik yang mengendalikan angkatan bersenjata di Lubnan.

Pada tahun 2006, perang besar sekali lagi tercetus antara Israel dan Hizbullah, dan sekali lagi Garis Biru menjadi rujukan bagi Israel untuk mengundurkan tenteranya.

Pada asalnya, sempadan Garis Biru ini terbentang sejauh 29 kilometer di utara Sungai Litani, sebelum diluaskan menjadi 120 kilometer sebagai sebahagian daripada Resolusi PBB 425 dan 426 yang menuntut pengunduran penuh tentera Israel serta penubuhan zon aman.

Dalam perkembangan sama, sehingga kini, Garis Biru dikawal rapi oleh pasukan pengaman PBB yang dikenali sebagai United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL), terdiri daripada lebih 10,000 anggota dari 50 buah negara.

Malaysia turut menyumbang pasukan tentera Malbatt 850-11 berkekuatan seramai 854 anggota terdiri dari 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat, termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Tugas mereka adalah untuk memantau gencatan senjata, membantu tentera Lubnan mengawal kawasan sempadan dan mengelakkan sebarang pencerobohan oleh mana-mana pihak yang boleh mencetuskan semula konflik bersenjata antara Israel dan Hizbullah.

Kehadiran UNIFIL di sepanjang Garis Biru adalah penting bagi memastikan bantuan kemanusian kepada orang awam dan kestabilan berterusan di kawasan sempadan yang sering kali bergolak.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!