KUALA LUMPUR, 15 Okt – Hubungan erat antara Malaysia dan Brunei diyakini akan terus mengeratkan rangkaian kerjasama dalam pelbagai bidang demi kepentingan bersama.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas selesai lawatan negara selama 3 hari ke Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, Yang di-pertuan Agong bertitah, hubungan akrab Diraja Malaysia dan Brunei bukan sahaja unik, malah turut kekal teguh di bawah rumpun Melayu serta Islam.
Yang di-Pertuan Agong juga mendoakan hubungan persahabatan serta persaudaraan Malaysia dan Brunei yang telah terjalin erat selama lebih 40 tahun akan terus diperkukuhkan.
“Hubungan mesra dan rapat antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dua negara,
“Hubungan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama di antara dua Raja Melayu itu cukup terserlah, apabila Paduka Seri Baginda Sultan Brunei berkenan memandu sendiri Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari Empire Brunei ke Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada hari ini,” titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, turut berangkat dalam lawatan itu.
Dalam hantaran yang sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan atas perkenan Sultan Brunei menerima kunjungan baginda berdua serta sambutan mesra yang diberikan sepanjang lawatan.
Ketika berangkat pulang hari ini, Seri Paduka Baginda melintasi Barisan Pasukan Kawalan Kehormat Setempat Tentera Darat Diraja Brunei sebelum berlepas bersama pesawat khas pada pukul 9.30 pagi.
Brunei merupakan negara ketiga dikunjungi Seri Paduka Baginda untuk lawatan negara selepas Singapura dan China sejak menaiki taktha sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 31 Januari lalu.-airtimes.my
#Malaysia #Brunei #DaulatTuanku #airtimes #semasa