KUALA LUMPUR, 28 Nov – Kementerian Pertahanan (MINDEF) merancang untuk menubuhkan pusat trauma di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan sebagai langkah strategik meningkatkan perjawatan baharu yang boleh diisi pakar atau sub kepakaran dan pakar perubatan angkatan tentera.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, cadangan ini bertujuan meyakinkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meluluskan penambahan perjawatan di HAT seluruh negara.
Beliau berkata, langkah itu penting kerana HAT bukan sahaja memberi rawatan kepada anggota tentera, keluarga, dan veteran, tetapi juga masyarakat awam.
“Penubuhan pusat trauma ini akan membuka peluang kepada penambahan perjawatan baharu, sekali gus menarik lebih ramai pakar menyertai perkhidmatan kesihatan ATM.
“Langkah ini penting kerana HAT bukan sahaja memberikan rawatan kepada anggota tentera, keluarga, dan veteran ATM, tetapi juga kepada masyarakat awam,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai langkah MINDEF dalam menyakinkan JPA bagi memberikan peruntukan tambahan, terutama doktor pakar di HAT.
Adly turut memaklumkan, MINDEF kini menilai penggunaan teknologi perubatan seperti pembedahan robotik di HAT Tuanku Mizan untuk dipertingkatkan bagi meningkatkan keupayaan hospital tersebut.
“MINDEF juga sedang menilai untuk memperkasakan lagi penggunaan teknologi di HAT Tuanku Mizan, terutama dalam perkhidmatan pembedahan robotik,
“Dalam masa sama kita membuat penilaian supaya (kaedah) pembedahan robotik dapat dipertingkatkan, supaya dapat memberi keyakinan terhadap perkhidmatan awam dengan penggunaan teknologi dan kesannya selain membantu KKM,” ujarnya lagi.
Menjawab soalan asal, Adly menjelaskan bahawa MINDEF sentiasa berusaha menambah bilangan pegawai perubatan pakar dan subkepakaran bagi memenuhi keperluan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT).
Namun, penambahan perjawatan pakar tertakluk kepada kekosongan sedia ada dan kelulusan JPA untuk mewujudkan jawatan baharu, sejajar dengan peningkatan bilangan pesakit dan keperluan rawatan.
“Dalam hal ini, MINDEF amat berharap cabaran ini dapat diatasi sebaik mungkin demi memastikan perkhidmatan kesihatan ATM sentiasa berada pada tahap terbaik dan setara perkhidmatan kesihatan disediakan KKM serta sektor perubatan swasta,” tambahnya lagi.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #KKM #KKD #kesihatan #HATMizan
