Home Pertahanan dan Keselamatan LTAT: Program Pemerkasaan Usahawan Wira, bantu veteran B40 ceburi perniagaan

LTAT: Program Pemerkasaan Usahawan Wira, bantu veteran B40 ceburi perniagaan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memacu usaha memperkasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B40 melalui Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 2024/2025 (PPUW), dengan menyasarkan penyertaan 35 usahawan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program berkenaan memberi peluang kepada veteran untuk meningkatkan taraf hidup, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan LTAT bagi membina ekosistem yang lebih inklusif serta mampan khusus untuk veteran ATM.

“Ikhtiar ini adalah sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan holistik rakyat Malaysia khususnya kepada para wira-wirawati negara selepas bersara,

“Selain itu, program ini merupakan bukti, komitmen dan keprihatinan LTAT untuk memperkasa ekonomi warga veteran ATM yang telah banyak berkorban demi kedaulatan negara,” katanya selepas meluncurkan Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 2024/2025, hari ini.

Turut hadir Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Eksekutifnya, Mohammad Ashraf Md Radzi.

LTAT menjalankan kerjasama strategik dengan PSC, pakar latihan keusahawanan yang telah melatih lebih 100,000 peserta, dengan lebih 70 peratus berjaya meningkatkan pendapatan mereka di dalam jangka masa 3 bulan.

Sepanjang tempoh 6 bulan, peserta akan mengikuti program pembangunan kapasiti yang komprehensif, merangkumi modul latihan keusahawanan bersepadu, sesi bimbingan mentor mentee, pembelajaran dalam talian dan penguasaan literasi kewangan.

Dalam masa yang sama, Adly turut menyeru usahawan veteran ATM agar lebih cakna dan progresif dalam merebut insentif yang disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2025.

Sementara itu Mohammad Ashraf memaklumkan, LTAT memandang serius terhadap mandat yang diamanahkan selaku sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk memperkukuhkan jaringan perlindungan sosio-ekonomi anggota ATM.

“Di samping memastikan pemberian dividen yang mampan, komitmen LTAT diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi demi menyokong aspirasi MINDEF,

“Usaha ini adalah manifestasi keikhlasan LTAT dalam memastikan masa depan yang lebih mampan bagi pencarum,

“Saya percaya usaha ini akan menjadi pencetus kepada lebih ramai veteran untuk menerokai dunia keusahawanan dan seterusnya memberi manfaat besar kepada diri mereka, keluarga, masyarakat, dan negara,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#LTAT #veteranATM #pertahanan #airtimes #malaysia

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!