Home Pertahanan dan Keselamatan LCS capai 69.58%: Fasa akhir pembinaan siap hujung tahun

LCS capai 69.58%: Fasa akhir pembinaan siap hujung tahun

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Status kemajuan semasa bagi perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini dilaporkan melebihi jadual perancangan iaitu sebanyak 69.58 peratus berbanding 69.50 peratus pada 25 Ogos lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencapaian ini merangkumi elemen rekabentuk, pembinaan, peralatan dan ujian dengan perbezaan sebanyak 0.08 peratus daripada jadual asal.

“Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam kontrak yang telah ditandatangani, fasa akhir pembinaan kapal ini akan disiapkan pada penghujung tahun sebelum ia menjalani Ujian Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) oleh TLDM untuk tempoh 2 tahun,

“Bagi kapal LCS kedua pula, ia akan turun ke permukaan air sebelum menjalani HAT dan SAT pada pertengahan tahun hadapan,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik) mengenai perancangan kerajaan dalam menyegerakan pembinaan kapal LCS bagi menghadapi ancaman pihak luar terhadap kawasan zon ekonomi dan kepulauan milik Malaysia di perairan Laut China Selatan yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi untuk mempertahankan kedaulatan negara.

“Kementerian Pertahanan juga memastikan kesiagaan aset berada pada tahap yang optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan di perairan negara terutama di Laut China Selatan,” ujarnya lagi.-airtimes.my

#TLDM #LCS #Malaysia #airtimes #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!