KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor hari ini mendedahkan masih terdapat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dinafikan hak mereka untuk mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau berkata, situasi ini berpunca daripada penggunaan surat pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 3 Oktober 2002 bagi menafikan hak rawatan susulan IJN bagi golongan tersebut.
“Sesungguhnya anggota veteran ATM tidak tertakluk kepada arahan KP KKM 2002 ini kerana ianya terhad kepada kakitangan dan pesara Jabatan Perkhidmatan Awam sahaja,
“Dari dahulu lagi ATM ini tidak sama dengan penjawat awam. Anggota veteran ATM tertakluk kepada perintah Majlis Angkatan Tentera (MAT) mengikut Akta Angkatan Tentera 1972 dan perkeliling oleh Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP) atau Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dimana kos rawatan veteran dibayar oleh JHEV dan bukan oleh KKM,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Justeru itu, Khlir menggesa Menteri Kesihatan menyelesaikan isu ini segera supaya IJN dapat menerima semula veteran ATM yang dinafikan hak rawatan mereka.
“Kebanyakkan veteran-veteran ini sudah lanjut usia, dah tua-tua, hendak mati dan mereka adalah pejuang negara semasa darurat. Mereka sudah berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan tanah air tercinta,
“Apa salahnya, KKM berbincang dengan MINDEF?. Sekiranya tidak cukup peruntukan, KKM boleh minta dengan MINDEF kerana saya tengok ada banyak peruntukan yang diberikan untuk golongan veteran ATM ini, jadi pihak MINDEF boleh bayar,” tegasnya lagi.-airtimes.my
Ahli Parlimen Ketereh ggesa Kementerian Kesihatan Malaysia selesaikan segera isu ini agar IJN dapat menerima semula veteran ATM yang dinafikan hak rawatan mereka.
#pertahanan #veteranATM #rawatan #IJN #JHEV #Mindef #airtimes
