Peristiwa yang pernah berlaku di Tanah Melayu terdahulu, sudah pastinya tidak lekang dan asing dari ingatan kita. Meskipun telah berabad zaman dan berkurun lamanya, kisah bersejarah serta pengorbanan para perwira dalam menawan tanah air ini kekal terpahat dan tidak mungkin akan dilupakan.
Berhubung peristiwa tragis dan pertumpahan darah yang berlaku pada zaman dahulu bukan hanya sekali dua malah bertahun-tahun perjuangan yang dibaktikan oleh perwira dahulu dalam mempertahankan hak dan kuasa serta menentang penjajah untuk mencapai sebuah kedamaian.
Dengan penggunaan pelbagai teknik serta kekuatan dalam pengendalian peralatan senjata semasa pertempuran ketika dahulu seperti pedang, ini telah membuktikan kekuatan nenek moyang terdahulu dalam menewaskan penjajah mahupun musuh.
Pedang ‘Buaya Berenang’ antara salah satu senjata warisan yang memberi banyak jasa dalam pertempuran besar. Pedang yang digunakan oleh ramai pendekar sejak tragedi 13 Mei 1969 ini namanya diinspirasikan dengan kaitan alam, iaitu dengan menyamakan bilah pedang yang berbentuk kepala buaya dengan mulut tertutup.
Menurut Wan Yusmar Wan Yusof yang juga guru silat serta pedang, berpandangan pedang ‘Buaya Berenang’ ini mula ditemukan di Kuala Kangsar, Perak. Namun, turut terdapat di negeri Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu malah dipercayai mempunyai pengaruh dari Uthmaniyyah yang mula datang ke Nusantara.
“Tidak ada catatan bertulis yang secara jelas mengatakan mula di daerah Manjung di Perak, contoh pada tahun 1542 ke apa tidak ada,” jelas cikgu Wan Yusmar.
Bagaimanapun, persenjataan pedang sinonimnya memiliki kekuatan dan keunikan tersendiri, ‘Buaya Berenang’ tidak kurang ‘gah’ juga dengan mempunyai bahagian mata dan muncung hujung bilah yang lebar serta mampu memotong dengan lebih baik berbanding hujung bilah yang tirus.
Di samping, senjata era kurun ke-19 hingga ke-20 ini memiliki anggaran berat sebanyak 1kg mahupun 1.2kg. Pedang yang dipercayai mula mengikut reka bentuk pedang ‘Kilik’ Turki ini, bagaimanapun telah diubah suai oleh orang Melayu mengikut kesesuaian untuk digunakan pada persekitaran tempat.
Dalam pada itu, penggunaan salah satu persenjataan perang ini bukanlah terhad kepada kaum lelaki sahaja malah wanita dan kanak-kanak seawal usia 7 tahun juga boleh menggunakannya dengan melalui latihan yang berterusan.
“Sebagai senjata perang, sesiapa sahaja yang sihat tua badan dan sempurna fizikal, tidak kira dia lelaki ataupun wanita, dia boleh menggunakan pedang,” kata cikgu Wan Yusmar.
Tambahnya lagi, yang sudah mempelajari mengendali senjata pedang seawal usia 10 tahun bersama arwah atuk, baginya tidak ada alasan untuk seseorang mengatakan dirinya tidak kuat, lemah dalam mempelajari dan memahirkan diri dengan penggunaan senjata ini.
Walaupun memerlukan masa dalam menyesuaikan diri dan mahir dalam penggunaan senjata ini, seseorang itu penting berguru supaya setiap pergerakan mereka dapat dipantau sewaktu latihan.
Dengan itu, proses pembelajaran yang berterusan serta pengalaman yang dikutip melalui latihan, mampu memantapkan kemahiran seseorang bahkan dapat membawa kemahiran ini sehingga bila-bila dan ke hujung usia.
Justeru, cikgu Wan Yusmar yang telah mengajar berkenaan pedang sejak tahun 2020, berharap kita sebagai orang Melayu Islam tidak kira golongan lelaki atau wanita, perlu untuk memahirkan diri dengan mempelajari bermain senjata seperti pedang ini.
Menurutnya lagi, aktiviti berpedang, memanah, berkuda dan berenang adalah satu Sunnah malah dapat menguatkan fizikal dan bangsa itu sendiri.
“Sebenarnya, bila bermain pedang ni, dia banyak membantu dari segi kawalan pernafasan dan juga secara tak langsung memuat dan menyihatkan badan,” tambahnya dengan harapan lebih ramai ingin mempelajari dan mengamalkannya.
Maka, seiring dengan perkembangan teknologi, media sebagai wadah yang berperanan penting dalam usaha untuk mengenengahkan ilmu pedang ini kepada generasi baharu agar senjata warisan ini tidak luput dan dilupakan oleh orang ramai. -airtimes.my
#AirTimes #Pedang #Warisan #Melayu #Malaysia