KUALA LUMPUR, 27 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan seorang bapa mengenai kematian anaknya semasa menjalani latihan ketenteraan di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Markas ATM memaklumkan bahawa insiden yang melibatkan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi MARA (UiTM), kini disiasat oleh Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat di dalam kes tersebut,
“Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” jelas MK ATM dalam satu kenyataan pada hari ini.
Terdahalu, media tempatan melaporkan, pelatih PALAPES tersebut dilaporkan meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani latihan yang dikatakan melibatkan penderaan fizikal.
Bapa mangsa mendakwa, anaknya diperlakukan secara kasar, termasuk dipijak di bahagian dada dan dipaksa melakukan aktiviti fizikal berat.
Sehubungan itu, ATM menyeru agar masyarakat memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan ini dengan tuntas agar keadilan dapat ditegakkan bagi pihak yang teraniaya.
Selain itu, ATM menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Segala perkembangan lanjut mengenai hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” jelas ATM lagi.
Sementara itu, UiTM dalam kenyataan memaklumkan akan meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan pasukan seragam susulan kematian penuntutnya pada 13 November lalu, yang didakwa akibat menjadi mangsa dera.
UiTM memandang serius mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjalankan siasatan. UiTM akan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung insiden ini.
“UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pelajarnya sentiasa diutamakan.
“Sehubungan itu, universiti sudah mengambil langkah proaktif untuk meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisma pemantauan berkaitan aktiviti badan beruniform (pasukan seragam),” kata kenyataan itu.-airtimes.my
#pertahanan #PALAPES #kematian #siasatan #airtimes
