GEORGE TOWN, 19 Jan – Kerajaan sedang mengatur penghantaran pulang 127 rakyat Palestin, termasuk 41 individu yang cedera, yang sebelum ini dibawa ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet minggu lepas dan penghantaran pulang mereka sedang diuruskan Kementerian Luar bersama Kementerian Pertahanan.
“Kedua-dua kementerian terlibat akan memperincikan mengenai perkara itu dalam masa terdekat dan kesemua mereka berada dalam keadaan sihat,
“Mereka (rakyat Palestin) telah menerima rawatan dan mohon untuk pulang, jadi dalam keadaan gencatan senjata, ini mungkin masa sesuai untuk penghantaran pulang,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada selepas Majlis Penutupan Permukiman KKDW 2025, hari ini.
Tempoh perjanjian gencatan senjata di Gaza berlangsung selama 42 hari dan berkuat kuasa hari ini.
Pada 16 Ogos tahun lalu, seramai 127 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak serta bayi tiba di Malaysia untuk mendapatkan bantuan perubatan akibat konflik yang melanda.
Daripada jumlah itu, 40 daripadanya adalah pesakit akibat peperangan di Gaza yang datang untuk menerima rawatan di negara ini.
Melalui misi ini, ATM telah mengaturgerakkan 2 buah pesawat A400M bagi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera dari Kaherah, Mesir ke Malaysia.-airtimes.my
#Malaysia #pesakit #Palestin #rawatan #airtimes #ATM

