PULAU TIOMAN, 17 Jan – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi menunjukkan komitmen dalam memberikan khidmat kepada masyarakat dengan melaksanakan penerbangan ihsan di Pulau Tioman.
Dalam misi kali ini, TUDM telah mengaturgerakkan helikopter EC 725 AP dari No. 10 Skuadron untuk membawa seorang bayi lelaki berusia 1 bulan, Muhammad Emir Mikhyl Muhammad Izral Haziq yang disyaki menghidap penyakit Sepsis.
Bayi berkenan memerlukan rawatan segera di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
“Helikopter EC 725 AP menjalankan MEDEVAC (Medical Evacuation) untuk membawa bayi tersebut dari Pulau Tioman bersama ibunya, Puan Nur Anis Hidayah Mohd Nazari,
“Bayi tersebut selamat mendarat di Pangkalan Udara Kuantan dan terus dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan,” jelas pihak TUDM dalam hantaran pada Jumaat.
Penerbangan Mercy Flight ini telah dikendalikan oleh Mejar Khairul Ridhuan Ramlee TUDM dan Mejar Helmi Che Mat TUDM serta Kuartermaster Udara, Flait Sarjan Jilvanio Stephanus dan Sarjan Udara Muhammad Syafudeen Selamat.
“TUDM mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan misi Mercy Flight ini, termasuk anak kapal pesawat serta pihak-pihak yang memberikan sokongan secara langsung atau tidak langsung,” jelas hantaran itu lagi.-airtimes.my
#TUDM #penerbanganihsan #HTAA #ATM #airtimes