MELAKA, 4 FEB – Panglima Tentera Darat (PTD) ke-31, Jeneral Dato’ Azhan Md Othman, mengingatkan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) supaya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip dan ikrar yang telah dilafazkan.
Beliau menegaskan bahawa setiap kemenangan yang dicapai oleh organisasi itu mestilah dilakukan dengan penuh maruah dan integriti yang utuh.
“Kita mahukan kemenangan. Dan kita menang dengan maruah dan prinsip. Kerana itulah ‘siapa kita’ dan ‘ikrar kita’ yang sebenar-benarnya,” katanya dalam ucapan Perintah Ulung PTD ke-31 di Dataran Parawood, Kem Terendak hari ini.
Jeneral Azhan turut mengakui bahawa TDM kini sedang berhadapan dengan defisit kepercayaan masyarakat ekoran isu-isu integriti, penyalahgunaan kuasa, dan pecah amanah oleh segelintir pihak.
Beliau mengibaratkan perbuatan tersebut seperti nila setitik yang merosakkan susu sebelanga dan menyeru agar warga TDM tidak membiarkan “bisa” yang sekelumit itu meracuni organisasi keramat tersebut.
“Saya menyeru agar semua warga Tentera Darat untuk kembali bersatu hati dan bersama-sama mengembalikan kegemilangan serta maruah organisasi ini,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan anggota agar tidak melupakan identiti mereka sebagai perajurit yang bersama-sama menelusuri hutan belantara dan berkorban jiwa raga di perbatasan.
Selain isu dalaman, Jeneral Azhan menekankan keperluan TDM untuk terus bersedia mendepani cabaran geopolitik, kesan limpahan strategik (spillover effect), serta perkembangan teknologi moden dalam peperangan masa hadapan (future warfare).
Perintah Ulung PTD kali ini akan tertumpu kepada teras keupayaan bagi memastikan Tentera Darat kekal sebagai sebuah angkatan yang ampuh, relevan, dan disegani dalam mendepani sebarang bentuk ancaman kedaulatan negara.-airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #TDM #ATM #PerintahUlungPTD #Malaysia















