SINGAPURA, 5 FEBRUARI – Airbus dan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) Singapura hari ini mengumumkan kejayaan penyelesaian kempen penerbangan perintis HTeaming yang menyaksikan pengintegrasian operasi antara pesawat berawak dan tanpa pemandu di sebuah pangkalan udara di republik itu.
Ujian penerbangan demonstrasi ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya sistem HTeaming melibatkan gandingan antara sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) Airbus Flexrotor dan helikopter H225M milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).
Kejayaan ini menyusuli perjanjian yang dimeterai pada Jun tahun lalu di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka bagaimana gandingan kru dan aset tanpa pemandu mampu meningkatkan kesedaran situasi serta memperbaiki hasil misi melalui kempen demonstrasi penerbangan.
Dalam ujian yang dijalankan pada Januari lalu menggunakan senario simulasi, sistem ini membuktikan bahawa sebuah helikopter berawak mampu mengakses data masa nyata daripada UAS dengan selamat dan berkesan. Keupayaan ini secara signifikan meluaskan jangkauan visual pesawat dan meningkatkan keselamatan misi secara keseluruhan.
Bagi tujuan demonstrasi, helikopter H225M dan Flexrotor telah digerakkan secara berpasukan dalam satu simulasi misi mencari dan menyelamat (SAR).
Sebagai sebahagian daripada kolaborasi ini, Airbus bertanggungjawab menguruskan reka bentuk sistem HTeaming dan integrasinya ke dalam helikopter H225M, termasuk pembinaan seni bina pautan data khusus. Integrasi ini membolehkan kru helikopter menerima dan memproses data masa nyata daripada Flexrotor sambil mengekalkan perintah dan kawalan terus ke atas dron tersebut.
Sinergi ini memudahcara proses membuat keputusan yang pantas dan pelaksanaan misi sambil meminimumkan pendedahan kru kepada persekitaran berisiko tinggi.

Anggota kru helikopter H225M Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) memantau paparan sistem Airbus HTeaming yang membolehkan integrasi data masa nyata antara helikopter berawak dan dron Flexrotor dalam demonstrasi operasi berpasukan. Foto: Airbus
Pengarah Sistem Udara DSTA, Ang Jer Meng dalam satu kenyataan berkata, kerumitan operasi moden menuntut penyelesaian yang boleh diadaptasi dalam masa nyata.
”Kejayaan demonstrasi penerbangan ini menggariskan komitmen DSTA terhadap inovasi dan perkongsian kukuh dengan industri untuk menyampaikan penyelesaian termaju.
”Ia menandakan langkah positif ke hadapan dalam keupayaan berpasukan untuk meningkatkan keberkesanan misi RSAF sambil memastikan keputusan manusia kekal sebagai pusat operasi. Pencapaian ini memberikan kami keyakinan untuk bergerak lebih jauh bagi mentakrifkan semula sempadan operasi yang lebih dinamik,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Global Airbus Helicopters, Olivier Michalon menyifatkan kejayaan ini sebagai pencetus perubahan atau game-changer bagi operasi taktikal moden.
”Kempen penerbangan ini menggambarkan sepenuhnya keupayaan untuk mengeksploitasi teknologi dwi-guna bagi menyokong operasi yang selamat.
”Dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua platform, komander udara kini dilengkapi dengan kesedaran situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini dalam misi kompleks dan persekitaran berisiko tinggi,” jelas beliau.
Airbus HTeaming adalah penyelesaian modular baharu yang direka untuk serasi dengan keseluruhan rangkaian helikopter Airbus. Sebagai sistem yang bersifat UAS-agnostic, ia boleh mengintegrasikan pelbagai platform tanpa pemandu dan membolehkan kru helikopter mengambil kawalan penuh ke atas UAS yang berbeza mengikut keperluan misi.
Flexrotor yang digunakan dalam ujian ini adalah pesawat tanpa pemandu Vertical Takeoff and Landing (VTOL) moden dengan berat pelancaran 25 kilogram. Ia direka untuk misi risikan, pengawasan, penargetan dan peninjauan (ISTAR) dengan ketahanan operasi melebihi 12 hingga 14 jam.-airtimes.my


