TEHRAN, 06 FEB – Amerika Syarikat (AS) hari ini mengeluarkan arahan keselamatan tahap tertinggi kepada warganegaranya di Iran, menggesa mereka meninggalkan negara republik itu dengan serta-merta.
Kedutaan Maya AS di Iran (U.S Virtual Embassy Iran) dalam satu notis menyatakan bahawa warganegara AS perlu mempunyai pelan keluar kecemasan yang “tidak bergantung kepada bantuan kerajaan AS”.
“Warganegara AS dinasihatkan untuk keluar melalui jalan darat ke Armenia atau Turkiye jika keadaan mengizinkan, memandangkan banyak penerbangan antarabangsa telah dibatalkan,” menurut amaran tersebut.
Langkah drastik ini diambil ketika delegasi Washington dan Tehran memulakan rundingan berisiko tinggi (high-stakes talks) di Muscat, Oman hari ini, yang dilihat sebagai usaha diplomasi terakhir bagi mengelakkan pertembungan ketenteraan terbuka.
Delegasi AS diketuai oleh Utusan Khas ke Timur Tengah, Steve Witkoff, manakala Iran diwakili oleh Menteri Luarnya, Abbas Araghchi.
Presiden AS, Donald Trump dalam satu temubual dengan NBC News semalam meningkatkan tekanan dengan memberi amaran keras kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
“Mereka (Iran) tidak mahu kita menyerang mereka. Kita mempunyai armada besar yang sedang menuju ke sana. Beliau (Khamenei) sepatutnya sangat risau,” tegas Trump, merujuk kepada pergerakan aset Tentera Laut AS ke rantau tersebut.
Naib Presiden AS, JD Vance turut mengesahkan bahawa opsyen ketenteraan kekal di atas meja sekiranya rundingan di Muscat gagal mencapai kata sepakat mengenai program nuklear Iran.-airtimes.my
