KUALA LUMPUR, 06 FEB – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan pendekatan kehadiran berterusan (persistent presence), pemantauan berlapis (layered surveillance) dan tindak balas bersepadu bagi menangani isu pencerobohan kapal pengawal pantai asing di kawasan berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).
Kementerian Pertahanan memaklumkan, inisiatif tersebut merangkumi penggunaan aset permukaan, sistem pengawasan maritim, serta kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan maritim lain melalui perkongsian maklumat dan koordinasi operasi.
Kenyataan ini dikeluarkan melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Datuk Ali Anak Biju (Saratok) mengenai kesiapsiagaan aset TLDM di Bintulu untuk melindungi pelantar minyak dan gas Sarawak daripada pencerobohan kapal asing yang kerap dilaporkan berlaku hanya 80 batu nautika dari pantai tersebut.
Menurut kementerian itu, aspek keselamatan dan perlindungan kepentingan strategik negara, khususnya di perairan Sarawak yang kaya dengan hasil ekonomi, sentiasa menjadi keutamaan.
“Selain rondaan fizikal, TLDM turut memperkukuh keupayaan Kesedaran Domain Maritim (Maritime Domain Awareness – MDA) menerusi integrasi pelbagai sumber maklumat seperti sistem pengawasan pantai dan data perkapalan bagi mendapatkan gambaran situasi maritim yang menyeluruh.
“Kementerian Pertahanan turut menegaskan bahawa sebarang kehadiran asing yang menggugat kedaulatan negara akan ditangani secara tegas dan berhemah berlandaskan undang-undang antarabangsa demi memelihara keamanan serantau,” katanya. -airtimes.my
