Dalam arena pertahanan moden, teknologi sering menjadi penentu antara kelebihan dan kelemahan strategik. Laporan eksklusif dari Pameran Udara Singapura 2026 mendedahkan langkah agresif Korea Aerospace Industries (KAI) untuk memperkasakan pakej FA-50 Malaysia menerusi integrasi keupayaan Beyond Visual Range (BVR).
Perkembangan ini bukan sekadar naik taraf teknikal biasa. Ia menandakan anjakan paradigma mengubah status FA-50 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada sekadar pesawat bantuan kepada aset tempur hadapan yang lebih kredibel. Cadangan ini muncul ketika Malaysia mempertimbangkan pemerolehan 18 pesawat FA-50 tambahan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap pertahanan udara negara.
Tawaran strategik KAI dan kepentingan Batch 2
Dalam satu temu bual bersama media antarabangsa, wakil KAI mengesahkan bahawa integrasi keupayaan BVR ditawarkan sebagai sebahagian usaha memperkukuh pakej perolehan FA-50 Batch 2. Pendekatan ini dilihat sebagai strategi “mempermanis perjanjian” (sweeten the deal), di samping memastikan FA-50 kekal relevan dalam persekitaran keselamatan yang semakin mencabar.
KAI sebelum ini mengakui pada 2023 bahawa Malaysia telah meluluskan pemerolehan susulan sejurus kontrak bernilai USD920 juta bagi 18 pesawat FA-50 ditandatangani pada Februari tahun yang sama. Walaupun kontrak kedua belum dimuktamadkan, isyarat strategik ini mencerminkan keyakinan terhadap platform FA-50 sebagai tulang belakang keupayaan tempur ringan TUDM.
Evolusi FA-50 dalam inventori TUDM

Pada asalnya, siri T-50/FA-50 Golden Eagle dikenali sebagai platform Lead-In Fighter Trainer (LIFT) yang cemerlan. Peranannya adalah sebagai jambatan bagi juruterbang sebelum mengendalikan pesawat tempur berprestasi tinggi. Namun, perolehan varian FA-50 Block 20 oleh Malaysia telah mengubah naratif ini. Dalam konteks TUDM, FA-50 bukan sahaja berfungsi sebaga platform latihan dan sokongan darat, malah mengisi jurang keupayaan selepas persaraan MiG-29N. Kehadirannya menyokong kesiapsiagaan armada sedia ada, khususnya dalam misi rondaan dan tindak balas pantas.
Dengan integrasi BVR, peranan FA-50 berubah secara drastik. Ia tidak lagi terhad kepada kategori Pesawat Tempur Ringan (LCA) semata-mata tetapu turut mempunyai keupayaan yang setara dengan pesawat tempur multi-role . Ini menjadikan yang tampak ‘kecil’ ini mampu melaksanakan misi penguasaan udara (air superiority) secara terhad.
BVR dan perubahan doktrin pertempuran udara
Dalam pertempuran udara konvensional, dogfight atau pertempuran jarak dekat memerlukan juruterbang mendapatkan visual langsung terhadap sasaran. Situasi ini berisiko tinggi kerana pesawat perlu memasuki zon ancaman, dan terdedah kepada peluru berpandu jarak dekat serta tembakan meriam.
Keupayaan BVR mengubah sepenuhnya realiti ini. Dengar radar dan sistem penderiaan bersepadu, sasaran boleh dikesan dan diserang dari jarak jauh. Integrasi peluru berpandu radar aktif seperti AIM-120 AMRAAM (Advanced Medium-Range Air-to-Air Missile), membolehkan konsep “First Look, First Shot, First Kill” dilaksanakan.
Dalam konteks ini, FA-50 berupaya memintas dan menutralkan ancaman dari jarak puluhan kilometer sebelum pihak lawan menyedari kehadirannya. Pendekatan ini sekaligus meningkatkan kadar kelangsungan hidup (survivability) juruterbang serta melindungi aset strategik negara.
AMRAAM dan kredibiliti tempur FA-50

Sekiranya dipilih, AIM-120 AMRAAM memberikan FA-50 keupayaan fire and forget yang signifikan. Juruterbang boleh bermanuver sejurus selepas pelancaran, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada serangan balas.
Bagi Malaysia, keupayaan ini meningkatkan daya tahan operasi pertahanan udara. FA-50 tidak perlu menewaskan pesawat lawan dalam dogfight untuk mencapai objektif. Sebaliknya, cukup dengan menafikan kebebasan operasi pihak penceroboh. Pendekatan ini sejajar dengan doktrin pertahanan negara yang bersifat defensif dan berlapis.
Walau bagaimanapun, integrasi sistem BVR Barat bukan proses yang mudah. Ia melibatkan keserasian perisian misi, sistem kawalan tembakan serta kelulusan eksport teknologi sensitif. Faktor kos, tempoh integrasi dan kebergantungan kepada pihak ketiga perlu dinilai secara menyeluruh agar tidak menjejaskan perancangan jangka panjang TUDM.
Dimensi serantau dan mesej ‘Deterrence‘
Dalam perbandingan serantau, FA-50 Malaysia berada dalam kelas tersendiri. Filipina menggunakan FA-50 secara berkesan dalam konflik Marawi, namun tanpa keupayaan BVR. Indonesia dan Thailand pula mengoperasikan varian T-50 yang lebih fokus kepada latihan.
Dengan melengkapkan FA-50 Block 20 bersama BVR, Malaysia berpotensi memiliki varian paling berkeupayaan di Asia Tenggara. Dalam konteks Laut China Selatan, ini menghantar isyarat cegah rintang (deterrence) yang jelas. Walaupun FA-50 bukanlah tandingan one-on-one langsung kepada pesawat gergasi kelima seperti J-20 atau F-35, kehadirannya dalam jumlah yang banyak dengan peluru berpandu BVR meningkatkan kos risiko kepada mana-mana penceroboh.
FA-50 bukanlah pesawat dominasi udara mutlak. Namun, deterrence tidak semestinya simetri. Keupayaan mengesan dan menyerang dari jarak jauh sudah memadai untuk memastikan ruang udara negara tidak mudah dicabar.
Tawaran KAI untuk mengintegrasikan keupayaan BVR pada FA-50 Malaysia selari dengan keperluan semasa pertahanan negara. Ia menutup jurang keupayaan TUDM dengan kos yang lebih efektif berbanding pemerolehan skuadron pesawat MRCA yang memakan masa lama. Ia bukan sekadar soal pemilikan teknologi, tetapi keputusan strategik tentang bagaimana Malaysia mempertahankan ruang udaranya dalam era persaingan kuasa yang semakin kompleks. -airtimes.my


