Home SemasaAnwar arah PBT bertindak, tiada lagi kompromi isu rumah ibadat ceroboh tanah kerajaan

Anwar arah PBT bertindak, tiada lagi kompromi isu rumah ibadat ceroboh tanah kerajaan

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 9 FEB – Kerajaan Persekutuan menegaskan pendirian untuk tidak lagi berkompromi dengan sebarang pembinaan rumah ibadat yang didirikan secara haram di atas tanah yang bukan hak milik sah, sama ada tanah kerajaan atau persendirian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Bandaran kini diberikan keizinan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan bagi membersihkan kawasan yang telah diceroboh bagi memastikan kedaulatan undang-undang negara dipelihara.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi menghentikan amalan menggunakan sentimen agama sebagai alasan untuk menghalalkan pencerobohan tanah yang semakin berleluasa.

Jelasnya, alasan tempoh keberadaan struktur tersebut di sesuatu lokasi, walaupun sudah mencecah ratusan tahun, tidak boleh dijadikan “lesen besar” untuk menidakkan peraturan yang ditetapkan.

“Saya dengan ini, mahu umumkan ketetapan kita, tidak lagi mengizinkan yang tidak mengikut peraturan dan Majlis Bandaran diberi keizinan untuk bertindak supaya dibersihkan kawasan yang bukan hak kuil, supaya selesai masalah ini dengan baik.

“Jangan guna alasan sudah ada di bawah pohon itu, wajib diluluskan,” katanya dengan tegas.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa prinsip keadilan dalam isu ini terpakai kepada semua agama tanpa pengecualian.

Beliau memberi peringatan bahawa pembinaan masjid dan gereja juga tertakluk kepada kelulusan dan peraturan yang sama, justeru tiada sebab mengapa rumah ibadat lain perlu diberikan keistimewaan untuk melanggar undang-undang.

“Masjid yang dibangunkan, ikut peraturan. Gereja yang dibangunkan, ikut peraturan. Jadi semua yang lain pun begitu juga.

“Tanah yang tidak sah, dipaksa, dirampas ataupun diambil tanpa kebenaran dan nak dijadikan sah. Tak boleh. Jadi apa keputusan kita? Keputusan kita, akui tidak sah,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai persepsi serong sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan tindakan penguatkuasaan seolah-olah kerajaan sedang menindas penganut agama tertentu.

Beliau menangkis dakwaan bahawa tindakan ini bersifat baharu atau hanya berlaku di bawah pentadbirannya, sebaliknya menegaskan bahawa isu pencerobohan tanah adalah masalah legasi yang turut dihadapi oleh kerajaan terdahulu termasuk ketika era Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Tegas beliau, Malaysia tidak seharusnya menjadi negara yang membenarkan anarki atas nama agama, sambil merujuk kepada amalan di negara luar seperti India dan China yang turut mengenakan tindakan tegas terhadap struktur agama yang tidak sah.

“Saya tanya di India, ataupun bagi kalangan masyarakat Cina di negara China, itu tidak diizinkan. Di India tidak diizinkan melainkan kuil-kuil yang sah. Jadi, biar ini jadi dasar, kita faham,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegur sikap segelintir ahli politik dan kumpulan pendesak yang cuba menjadi “jaguh” dengan menyokong pencerobohan atas tiket hak asasi, sedangkan tindakan tersebut jelas melanggar Perlembagaan dan undang-undang tanah negara.

Beliau menyifatkan tindakan mempertahankan struktur haram semata-mata untuk meraih populariti politik adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan hanya akan merosakkan keharmonian antara kaum.

“Tidak mungkin kita bela, kata langgar peraturan dan hukum, tidak boleh. Ini negara, negara hukum, mahu runding, runding dengan baik.

“Tapi takkanlah kalau ada seribu kuil yang tidak mengikut kebenaran dan kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan, semua nak dipertahankan, tidak boleh,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan tetap menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, asalkan ia dilaksanakan mengikut saluran yang betul.

Sebagai contoh, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan pengurusan Batu Caves untuk membina eskalator bagi kemudahan penganut dan pelancong kerana struktur tersebut berada di atas tanah yang sah dan mendapat kelulusan pihak berwajib. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply