KUALA LUMPUR, 6 FEB – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan bahawa penetapan kawasan zon penampan adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ketetapan itu dibuat setelah mendapat ulasan daripada pihak pihak pengguna akhir (end user) iaitu agensi keselamatan berkaitan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.
“Sekiranya terdapat pembangunan yang dilaksanakan berhampiran Kawasan Larangan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri yang diurussetiakan oleh pihak CGSO Negeri,” katanya di Dewan Rakyat.
Menurut Adly, kuasa bagi meluluskan pembangunan tanah pada dasarnya terletak di bawah bidang kuasa PBT.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai status kawasan zon penampan antara tanah milik Kementerian Pertahanan dan kawasan Kem Sungai Buloh, susulan kewujudan kilang-kilang haram di kawasan sekitar kem tersebut.
Tanah berkenaan melibatkan Lot 4085, Mukim Petaling yang berkeluasan 362.717 ekar yang menempatkan pelbagai unit dan pasukan di bawah Markas ATM. -airtimes.my
