LAHAD DATU, 19 Feb – Persekitaran pantai Sabah sebagai zon strategik perlu diawasi termasuk dari daratan bagi mengekang penceroboh.
Sebagai antara pasukan pertahanan di darat yang penting, Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) menggalas tanggungjawab tersebut.
Justeru, bagi memastikan operasi pantai dapat dilaksanakan dengan sempurna, maka latihan khususnya aspek taktikal yang berkesan perlu diberi perhatian.
Inilah objektif Kursus Asas Sea Combat Siri 1/2026 Jabatan-Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Bersaksikan Pantai Payang, Lahad Datu, kursus berkenaan telah dilaksanakan dengan jayanya.
Kursus selama 35 hari bermula 11 Januari hingga 14 Februari 2026 dengan pusat latihan utama adalah di Batalion 17 PGA.
Ia melibatkan 43 pelatih termasuk 8 pegawai berpangkat Inspektor.
Kesemuanya melibatkan elemen Tiger Platoon daripada batalion PGA Sabah, Pasukan Polis Marin serta Pusat Latihan PGA Kota Kinabalu.
Sejak diperkenalkan pada 2023, kursus berkenaan menjadi platform tahunan Briged Sabah PGA untuk melahirkan anggota mahir tempur laut dan memperkukuh pertahanan perairan negeri.
Kursus ini menjadi platform penting dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi maritim PDRM khususnya Briged Sabah PGA.
Sebagai barisan hadapan keselamatan maritim, Briged Sabah PGA bersedia mempertahankan kedaulatan perairan kekal aman dan terkawal.
Kursus berintensiti tinggi ini memberi fokus kepada keupayaan tempur maritim, pengendalian bot operasi, navigasi taktikal, teknik serbuan dan koordinasi operasi berpasukan.
Penting untuk kawasan yang mempunyai perairan luas dan banyak pulau seperti Sabah meningkatkan kecekapan dan keupayaan.
Terdahulu, majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Hj Mohd Khalid Hj. Ismail.
Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos Victor Sanjos.
Anugerah Peserta Terbaik Kursus Asas Sea Combat Jabatan KDNKA Siri 1/2026 diterima Inspektor Mohd Azrul Muhammad daripada Bn 16 PGA Kota Kinabalu.
Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd Khalid menegaskan bahawa kursus berkenaan merupakan inisiatif strategik dan kritikal PDRM dalam memperkukuh keupayaan operasi keselamatan perairan negara.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen kesemua peserta dan menyifatkan mereka sebagai aset operasi yang bernilai kepada Pasukan.
“Kini, setelah melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran baharu, anda semua bukan lagi anggota biasa.
“Anda adalah aset operasi yang bernilai, pemangkin kepada peningkatan keupayaan pasukan khususnya dalam aspek keselamatan maritim dan operasi amfibia,” ujar beliau.
Tambahnya, ancaman seperti kegiatan militan, pelanunan, penyeludupan senjata api dan jenayah rentas sempadan menuntut PDRM sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi.



