Home Pertahanan dan Keselamatan Duduk di kerusi Panglima Angkatan Tentera bukan tugas mudah – Jeneral Malek

Duduk di kerusi Panglima Angkatan Tentera bukan tugas mudah – Jeneral Malek

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 04 FEB – Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman mengakui bahawa tanggungjawab mengemudi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa kini bukanlah satu tugas yang mudah, terutamanya ketika berdepan dengan cabaran semasa.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena hari pertama beliau memulakan tugas di Kementerian Pertahanan, hari ini.

“Jadi itu adalah perkara yang saya hendak nyatakan di sini untuk hari pertama saya di sini, duduknya saya di kerusi Panglima Angkatan Tentera is not an easy job (bukanlah satu kerja yang mudah), terutamanya dalam keadaan sekarang ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai pelantikan itu pada peringkat awal dan menyifatkannya sebagai satu ketentuan yang tidak memberi ruang untuk beliau membuat pilihan.

“Saya tidak tahu yang saya akan dilantik, itu yang pertama dan saya tidak boleh menjangka apa-apa dan saya tidak mempunyai pilihan.

“Jadi bukan satu pilihan ya atau tidak, apabila ianya berlaku sebagai satu perkenan, ia adalah sebagai satu titah dan juga amanah bahawa mereka memberi kepercayaan kepada saya,” jelasnya.

Ujarnya lagi, sebagai anggota tentera yang menyarung uniform, kesetiaan adalah kepada Yang di-Pertuan Agong dan pemerintah sedia ada.

“Mereka yang memilih saya, saya perlu meneruskannya dan saya ambil tugas ini serta saya sahut cabaran ini,” katanya.

Tambah beliau, dengan berbekalkan pengalaman selama 40 tahun dalam perkhidmatan dan tahap pemerintahan yang telah dilalui dari peringkat awal hingga tertinggi, beliau berjanji untuk melunaskan tanggungjawab tersebut dan menyahut cabaran untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap ATM.

Dalam masa sama, Jeneral Malek Razak Sulaiman turut memaklumkan akan menggariskan pelan tindakan yang lebih terperinci menerusi amanat ulung beliau dalam masa terdekat bagi menangani isu berbangkit serta memacu ATM ke hadapan. -airtimes.my

KATA KUNCI : Kementerian Pertahanan MalaysiaKetenteraanMalaysiaPanglima Angkatan Tentera (PAT)Pertahanan

Leave a Reply