KUALA LUMPUR, 30 JAN – Pelbagai gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tanah air hari ini menyerahkan satu memorandum solidariti kepada Kedutaan Besar Republik Islam Iran di Kuala Lumpur.
Memorandum tersebut merupakan manifestasi bantahan terhadap sebarang campur tangan asing yang cuba menggugat kestabilan dan kedaulatan negara berkenaan.
Menurut memorandum itu, organisasi yang menandatanganinya menyatakan solidariti penuh kepada Iran dalam menghadapi konspirasi luar yang berterusan untuk menggugat kestabilan, mensubversi politik dan memaksakan pertukaran rejim.
Memorandum berkenaan menyatakan bahawa kempen yang mensasarkan Iran bukan satu kejadian terpencil, sebaliknya sebahagian daripada pola campur tangan asing, paksaan dan usaha menggugat negara berdaulat atas nama demokrasi, keselamatan dan hak asasi manusia, yang didakwa melayani kepentingan imperialis dan dominasi geopolitik.
Tindakan tersebut dinyatakan sebagai pelanggaran terhadap prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, undang-undang antarabangsa serta prinsip kesaksamaan kedaulatan negara.
Antara pendirian yang ditegaskan ialah kecaman terhadap semua operasi pertukaran rejim, penolakan campur tangan asing dalam urusan dalaman Iran, serta penegasan bahawa masa depan politik Iran mesti ditentukan sepenuhnya oleh rakyatnya sendiri tanpa paksaan atau manipulasi kuasa luar.
Memorandum itu turut mengutuk strategi imperialis Amerika Syarikat dan Israel, yang menurutnya mencerminkan projek lebih luas untuk menggugat kestabilan rantau, memerangi ekonomi negara lain dan memaksakan penguasaan politik di Asia Barat.
Selain itu, memorandum tersebut menegaskan bahawa kedaulatan negara merupakan hak asasi yang dilindungi oleh undang-undang antarabangsa dan mesti dihormati tanpa pengecualian, di samping memberi amaran terhadap penghakisan norma antarabangsa melalui penguatkuasaan undang-undang secara terpilih dan penggunaan sekatan sebagai senjata politik.
Dalam seruan kepada komuniti antarabangsa, memorandum itu menggesa semua negara berdaulat menolak penyertaan dalam kempen menggugat kestabilan, menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan institusi antarabangsa bertindak secara bebas, serta menyeru masyarakat sivil dan institusi media menolak propaganda dan penyelewengan maklumat.
Memorandum tersebut ditujukan kepada Presiden Republik Islam Iran, TYT Dr Masoud Pezeshkian dan diserahkan kepada Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi.-airtimes.my
#AirTimes #Iran #Solidariti #AS








