KUALA LUMPUR, 28 JAN – Kementerian Pertahanan hari ini tampil menjelaskan bahawa anjakan tarikh penyerahan Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama satu tindakan yang tidak disengajakan atau berpunca daripada kelemahan pengurusan. Sebaliknya ia didorong oleh faktor rantaian bekalan luaran dan keperluan mematuhi standard teknikal yang ketat.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam penjelasan terperincinya di Dewan Rakyat memberitahu bahawa punca utama penundaan empat bulan bagi kapal pertama tersebut adalah disebabkan oleh kelewatan penerimaan peralatan daripada pihak Pengeluar Peralatan Asal (OEM).
Beliau menegaskan bahawa situasi ini berada di luar kawalan kontraktor tempatan dan memerlukan penyelarasan semula jadual kerja yang kompleks.
“Kita harus faham bahawa kelewatan ini bukanlah sesuatu yang disengajakan. Ia adalah punca dari segi soal peralatan, kelewatan penghantaran peralatan daripada pihak OEM,” jelas beliau semasa menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Batu Pahat mengenai punca kegagalan menepati jadual asal pentauliahan LCS 1 Maharaja Lela pada Ogos 2026.
Selain isu logistik antarabangsa, Mohamed Khaled turut mendedahkan bahawa pihak LUNAS terpaksa melakukan kerja-kerja pembetulan berskala besar (re-work) ke atas sistem kritikal kapal. Ini susulan daripada audit ketat yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Reka Bentuk (Design Authority), iaitu Naval Group dari Perancis, yang memantau kepatuhan spesifikasi projek tersebut.
Menurut Menteri Pertahanan, audit tersebut mendapati pemasangan sistem perpaipan dan kabel perlu dilakukan semula bagi menjamin keselamatan jangka panjang kapal berkenaan. Skala kerja pembaikan ini amat signifikan dan memakan masa.
“Naval Group buat audit, lihat supaya semua kerja berjalan sebagaimana spesifikasi, dan mereka telah membuat teguran supaya ditambah baik ataupun re-work pemasangan perpaipan dan juga kabel. Untuk makluman ada 4,000 unit paip, jadi diminta supaya dikaji semula dan dipasang semula, buat penambahbaikan,” dedah beliau lagi.
Susulan cabaran teknikal ini, tarikh penyerahan LCS 1 kini dipinda secara rasmi kepada Disember 2026. Menyentuh mengenai kekeliruan status ujian laut yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa apa yang dilihat umum ketika ini hanyalah fasa sea going untuk menguji sistem asas seperti jentera dan kuasa, manakala ujian laut penuh (sea trial) yang melibatkan sistem tempur hanya akan bermula pada April 2026.
Beliau menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan sebagai pelanggan akhir (end user) tidak akan berkompromi soal keselamatan semata-mata untuk mengejar tarikh siap yang tidak realistik.
“Kami sebagai customer nak pastikan kapal itu selamat, ikut spesifikasi, capai tahap kesiagaan operasi seperti yang diharapkan. Ini merupakan kapal pertama kita buat dalam negara kita. Tentunya ada cabaran, tentunya ada pengajaran yang didapati,” tambah beliau menutup perbahasan. -airtimes.my






