KUALA LUMPUR, 26 MAC – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kapal-kapal Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz susulan rundingan dengan pemimpin Iran serta beberapa negara serantau lain.
Menurut beliau, keputusan itu dicapai selepas perbincangan bersama pemimpin dari Iran, Mesir, Turki dan negara berkepentingan, ketika ketegangan di Asia Barat semakin memuncak.
Selain itu, Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan penghargaan buat Presiden Iran, Masoud Pezeshkian kerana awal memberi laluan kepada kapal-kapal Malaysia melalui Selat Hormuz.
“Kita sekarang sedang dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja yang terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan pulang ke tanah air,”katanya dalam satu perutusan khas hari ini.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Iran hanya membenarkan “kapal bukan musuh” sahaja dibenarkan melalui Selat Hormuz dengan syarat mereka tidak menyertai atau menyokong tindakan pencerobohan ke atas Tehran.
Selat Hormuz merupakan laluan maritim strategik yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab, dan menjadi nadi utama perdagangan minyak dunia.
Sebarang gangguan di kawasan itu boleh memberi kesan besar kepada bekalan tenaga global serta ekonomi negara-negara yang bergantung kepada laluan tersebut. -airtimes.my
