Ketika perang di Timur Tengah sedang memuncak, dunia dikejutkan dengan insiden serangan terhadap kapal frigat kelas MOUDGE milik Tentera Laut Republik Islam Iran (NEDAJA) pada 4 Mac 2026.
Kapal IRINS DENA tenggelam kira-kira 19 batu nautika (35 kilometer) di luar pesisir Galle, Sri Lanka selepas terkena tembakan torpedo USS CHARLOTTE, kapal selam berkuasa nuklear kelas LOS ANGELES milik Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).
Dalam masa 3 minit, IRINS DENA yang membawa 130 anak kapal tenggelam ke bawah permukaan Lautan Hindi.
Serangan terhadap kapal kelas MOUDGE ini menimbulkan pelbagai persoalan. Tidak lama selepas Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth mengesahkan insiden tersebut, timbul perdebatan di persada global mengenai keabsahan serangan terhadap IRINS DENA.
Di pihak Iran, kemarahan telah pun disuarakan oleh pihak kerajaan mahupun tentera. Tidak kurang juga usaha pihak kehakiman Iran yang menyatakan hasrat untuk mengheret AS ke pengadilan peringkat antarabangsa.
Malah, dalam gelombang serangan balas Operasi Janji Benar 4 (Operation True Promise 4), tentera Iran telah melancarkan peluru berpandu balistik dan dron bagi menuntut bela kematian anak kapal IRINS DENA.
Pun begitu, untuk rencana kali ini memberikan fokus mengenai latar belakang kapal yang terkena bedilan oleh aset bawah permukaan US Navy.

Kehadiran IRINS DENA disifatkan sebagai cerminan hubungan baik India dan Iran. Foto: Tentera Laut India
“Detik terakhir sebelum dimamah Lautan Hindi”
“Selamat datang!”. Itu adalah antara petikan hantaran di media sosial Markas Pemerintahan Armada Timur (Eastern Naval Command) Tentera Laut Republik India (India Navy, IN).
Hantaran pada 17 Februari itu mengesahkan IRINS DENA tiba ke Visakhapatnam untuk menghadiri International Fleet Review 2026 (IFR 2026) dan latihan ketenteraan MILAN 2026 di India. Kedua-dua acara ini diadakan secara serentak di India pada 15 hingga 25 Februari lalu.
Bagi IN, kehadiran IRINS DENA adalah cerminan kepada hubungan kebudayaan yang berpanjangan di antara India dan Iran. Kontinjen Iran turut melibatkan kapal pendaratan IRINS LAVAN dan kapal bekalan, IRINS BUSHEHR.
IFR 2026 menyaksikan kehadiran 85 buah kapal, termasuk 60 kapal dari IN dan Pasukan Pengawal Pantai India (ICG). Selain Iran, beberapa buah negara lain turut menghantar kapal mereka termasuklah Rusia, Jepun, Korea Selatan, UAE dan Australia.
Dari Asia Tenggara, Malaysia telah menghantar KD SRI INDERA SAKTI. Indonesia, Filipina, Myanmar, Thailand dan Vietnam masing-masing turut menghantar aset permukaan mereka ke acara ini.
Hampir kesemua kapal yang hadir ke IFR 2026 ini terlibat menyertai latihan multilateral MILAN 2026 . Latihan fasa laut MILAN 2026 menyaksikan latihan tempur secara bersama di lautan. Ini termasuklah penembakan senjata, operasi mengekang ancaman kapal selam dan pemintasan.
Tidak lama selepas kedua-dua acara ini tamat, AS dan Israel telah melancarkan operasi serangan bersama terhadap Tehran pada 28 Februari 2026.

Detik-detik akhir kapal IRINS DENA tenggelam akibat bedilan torpedo kapal selam Tentera Laut Amerika Syarikat. Foto: Department of war
“Kelewatan 11 jam yang membawa padah”
Ketika dalam perjalanan pulang ke Iran, IRINS DENA dijadualkan untuk mengadakan lawatan persahabatan ke Sri Lanka. Lawatan ini difahamkan turut melibatkan IRINS LAVAN dan IRINS BUSHEHR.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), pihak Kedutaan Iran di Sri Lanka telah meminta kebenaran untuk berlabuh di negara pulau itu. Pun begitu, permintaan oleh Iran belum mendapat kelulusan disebabkan isu yang berlaku di kawasan Teluk Parsi. Malah
Sementara itu, media Britain, The Guardian memetik kenyataan bekas Ketua Staf Tentera Laut Sri Lanka, Sarath Weerasekara yang menyatakan IRINS DENA telah menunggu lebih dari 11 jam untuk berlabuh.
“Kami tidak mengambil sebarang tindakan segera. Kami sepatutnya boleh menyelamatkan nyawa mereka juga. Perkara ini telah dibincangkan dalam majlis keselamatan, namun masih tiada tindakan diambil,” kata Weerasekara.
Pada 5.08 waktu Sri Lanka, IRINS DENA telah menghantar isyarat kecemasan dan melaporkan berlaku letupan pada kapal. Sri Lanka telah menghantar pasukan tentera laut dan udaranya untuk melaksanakan operasi menyelamat.
India pula mengerahkan pesawat P-8I Neptune dan kapal INS IKSHAK untuk membantu negara jirannya untuk melaksanakan operasi mencari mangsa yang masih terselamat.
Operasi bersama kedua-dua negara ini tamat pada 8 Mac 2026. Operasi menyelamat itu menyatakan 32 anak kapal IRINS DENA berjaya diselamatkan. 84 disahkan maut dan lebih 20 lagi dilaporkan hilang.
Statistik kerajaan Iran secara rasmi mengesahkan 104 anak kapal IRINS DENA dilaporkan maut.
IRINS LAVAN telah dibenarkan berlabuh di India manakala IRINS BUSHEHR di Sri Lanka, tidak lama selepas IRINS DENA menjadi sasaran AS.

IRINS DENA tiba di Malaysia pada 21 Februari 2025. Kehadiran kapal ini bersama SHAHID MAHDAVI merupakan satu detik bersejarah buat negara. Foto: FB TLDM
“Kapal pertama tentera laut Iran yang datang ke Malaysia”
Bagi yang mengikuti perkembangan pertahanan tanah air, kehadiran kapal tentera laut asing untuk berlabuh (Port call) di negara ini bukanlah sesuatu yang baharu. Begitu juga dengan Iran.
Pada 21 Februari 2025, IRINS DENA bersama kapal sokongan (Auxiliary) SHAHID MAHDAVI tiba di Pelabuhan Klang.
Mengimbau hantaran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di akaun media sosial rasminya, kehadiran kedua-dua kapal ini merupakan satu detik bersejarah kerana kehadiran IRINS DENA dan SHAHID MAHDAVI adalah pertama kali diadakan.
SHAHID MAHDAVI dilaporkan tenggelam di Teluk Oman ketika fasa awal peperangan.
IRINS DENA merupakan antara 7 kapal frigat kelas MOUDGE yang dibina secara tempatan oleh Iran. Kapal sepanjang 95 meter ini mempunyai sesaran 1,500 ton.
Kapal kelas MOUDGE dilengkapi dengan meriam 76mm, satu laras meriam sokongan 30mm atau 40mm. Selain itu, kapal kelas ini turut dilengkapi dengan 2 laras meriam 20mm Oerlikon.
Kapal ini turut dilengkapi dengan keupayaan untuk mengempur sasaran udara dan juga permukaan.
Malah, ia turut dilengkapi dengan tiub pelancar berganda torpedo bagi mengekang sasaran bawah permukaan. Keupayaan untuk menggempur sasaran bawah permukaan disokong oleh helikopter Bell 214.
Pun begitu, rakaman yang dikeluarkan oleh Markas Pemerintahan Pusat (US CENTCOM) menunjukkan ketiadaan Bell 214, yang memungkinkan IRINS DENA untuk tidak mempunyai sebarang keupayaan untuk mengesan ancaman bawah permukaan.
Apa yang pasti, tenggelamnya kapal yang pernah diluncurkan oleh Ali Khamenei ini membawa banyak implikasi tersendiri. Bukan sekadar nyawa terkorban, tetapi ia menjadi salah satu titik panas geopolitik di Lautan Hindi. – airtimes.my
