WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) secara rasmi meluluskan Pelepasan Material Penuh (FMR) bagi bom tangan serangan M111. Ini menjadikannya bom tangan baharu yang pertama diluluskan untuk kegunaan perkhidmatan sejak tahun 1968.
Aset terbaharu ini direka khusus bagi menggantikan siri bom tangan Mk3A2.
Penggunaan model lama tersebut telah dihentikan kerana badannya diperbuat daripada bahan asbestos yang mendatangkan risiko kesihatan kepada anggota tentera.
Bom tangan M111 menampilkan inovasi badan plastik sepenuhnya yang akan musnah seratus peratus ketika letupan. Pembangunan aset ini diterajui oleh Eksekutif Program Keupayaan Peluru dan Tenaga (CPE A&E) bersama Pusat Pemerintahan Persenjataan Pembangunan Keupayaan Tempur Tentera AS (DEVCOM) di Picatinny Arsenal.
Dari sudut taktikal, M111 memberikan kelebihan ketara dalam pertempuran jarak dekat di kawasan bandar. Senjata ini memanfaatkan kesan tekanan lampau letupan tanpa memuntahkan serpihan logam seperti bom tangan M67.
Penggunaan bom tangan serpihan di kawasan tertutup sebelum ini mendedahkan pasukan sendiri kepada risiko kecederaan akibat lantunan serpihan pada dinding dan struktur bangunan.
Pengurus Projek Sistem Tempur Jarak Dekat CPE A&E, Kolonel Vince Morris menjelaskan bahawa pembangunan senjata ini bersandarkan pengalaman operasi tentera AS di Iraq.

Bom tangan serangan M111/Foto: U.S Army
“Salah satu pengajaran utama yang diperoleh daripada pertempuran bandar dari rumah ke rumah di Iraq adalah bom tangan M67 tidak selalunya menjadi alat yang sesuai untuk tugas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ooleh Tentera Amerika Syarikat.
Difahamkan, pasukan infantri AS akan menggunakan M67 di kawasan rupa bumi terbuka. M111 pula akan digunakan bagi operasi di kawasan terhad dan bangunan bagi memberikan kelebihan tekanan lampau ke atas musuh.
Selain kelebihan taktikal, M111 dan versi latihannya iaitu M112 berkongsi proses persediaan lima langkah serta peledak yang sama dengan siri M67. Keseragaman ini membolehkan anggota tentera menjalani latihan yang mencerminkan situasi pertempuran sebenar.
Penyeragaman komponen peluru ini juga memberikan penjimatan besar kepada proses perolehan aset ketenteraan.
“Dengan menyeragamkan proses persediaan dan penggunaan peledak, pihak tentera menjimatkan wang pembayar cukai tanpa mengorbankan keberkesanan tahap maut di medan perang.
“Ini adalah jenis reformasi perolehan yang sedang dijalankan di seluruh peringkat perusahaan perolehan tentera. Kami mengambil peluang daripada inisiatif itu untuk menurunkan kos sambil meningkatkan kecekapan pertempuran,” tambah Morris.- airtimes.my
