ISTANBUL, 16 MAC – Pengeluar dron Turkiye, Baykar memperkenalkan dron kamikaze baharu dikenali sebagai K2 menerusi sebuah video promosi yang diterbitkan pada Sabtu.
Video tersebut menampilkan keupayaan sistem penerbangan dan penyasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk navigasi autonomi serta operasi penerbangan kawanan.
“K2 mampu melakukan penerbangan kawanan autonomi dan menggunakan visi AI untuk navigasi, penyasaran dan penglibatan,” menurut kenyataan syarikat itu.
Menurut Baykar, dron tersebut berupaya berlepas dari landasan pendek atau kawasan tidak disediakan. Platform itu juga direka untuk digunakan semula bagi beberapa misi operasi.
Dalam video berkenaan, K2 dilihat berlepas, terbang dalam formasi dan melakukan manuver yang diselaraskan. Muzik latar yang digunakan ialah karya klasik Waltz No.2 terkenal ciptaan komposer Dmitri Shostakovich.
Dari segi spesifikasi, K2 dilaporkan mempunyai jarak operasi melebihi 2,000 kilometer. Dron itu mampu membawa kepala peledak seberat 200 kilogram dengan berat berlepas maksimum sekitar 800 kilogram.
Baykar merupakan antara pengeluar dron utama Turkiye yang aktif mengeksport kenderaan udara tanpa pemandu (Unmanned Aerial Vehicle, UAV) ke pelbagai negara. Antara platform sedia ada syarikat itu termasuk Bayraktar TB2, Bayraktar Akinci, Bayraktar TB3 serta dron tempur berkuasa jet Bayraktar Kizilelma. -airtimes.my
