Home DiskusiANALISIS: Krisis Greenland, doktrin Trump 2.0 dan runtuhnya mitos keselamatan Eropah

ANALISIS: Krisis Greenland, doktrin Trump 2.0 dan runtuhnya mitos keselamatan Eropah

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Lanskap keselamatan global memasuki tahun 2026 dengan kejutan yang bukan sahaja menggegarkan struktur diplomasi Eropah, malah meruntuhkan andaian lama mengenai kestabilan orde antarabangsa pasca Perang Dunia Kedua.

Apa yang bermula di hutan tropika Venezuela menerusi “Operasi Absolute Resolve” pada awal Januari kini telah merebak pantas ke padang ais Artik, meletakkan Greenland sebagai titik fokus perebutan kuasa global yang paling kritikal.

Amaran terbaharu dari Washington yang mengisytiharkan keperluan mengambil alih Greenland atas alasan “keselamatan negara” menandakan peralihan drastik dasar luar Amerika Syarikat. Berbeza dengan tawaran pembelian pada tahun 2019 yang sering dianggap sebagai gimik hartanah, tuntutan kali ini hadir dengan kredibiliti paksaan yang nyata susulan tindakan ketenteraan unilateral di Caracas.

Greenland ialah wilayah autonomi dalam Kerajaan Denmark sejak 1979 (Home Rule) dan diperluas melalui Self-Government Act 2009./ Foto:Swoop Arctic

Naratif yang sedang berkembang di Washington bukan lagi mengenai urus niaga, sebaliknya satu ultimatum strategik yang melihat kedaulatan Denmark sebagai kekangan yang boleh diketepikan demi kepentingan Amerika.

Desakan agresif ini dipacu oleh realiti geostrategik yang semakin meruncing di Atlantik Utara. Fokus utama Pentagon kini tertumpu kepada “Greenland-Iceland-UK Gap”, pintu gerbang sempit yang menjadi laluan wajib bagi armada kapal selam nuklear Rusia untuk memasuki Lautan Atlantik.

Dengan laporan perisikan mengesahkan aktiviti kapal selam Rusia telah kembali ke tahap Perang Dingin, Amerika Syarikat tidak lagi meyakini kemampuan Denmark untuk mengawal “pintu belakang” ini sendirian. Risiko kegagalan mengesan pergerakan musuh di sektor ini dianggap sebagai ancaman terhadap pantai timur AS, sekaligus menjadikan penguasaan mutlak ke atas Greenland sebagai kepentingan pertahanan yang tidak boleh ditawar-menawar.

Kehadiran aset ketenteraan Rusia di Artik Utara dan latihan ketenteraan dilihat untuk melindungi kepentingan strategik dan agenda geopolitik di kawasan itu./Foto: U.S Naval Institute

Di sebalik percaturan ketenteraan konvensional, krisis ini turut didorong oleh perang sumber yang semakin kritikal. Industri pertahanan Amerika kini berada dalam keadaan terdesak akibat kebergantungan melampau kepada rantaian bekalan dari China, khususnya melibatkan Mineral Nadir Bumi (REE).

Kerentanan ini jelas terlihat pada aset strategik mereka, setiap unit jet pejuang F-35 Lightning II memerlukan ratusan kilogram nadir bumi, manakala kapal selam nuklear kelas Virginia memerlukan lebih empat tan bahan tersebut untuk beroperasi.

Situasi menjadi lebih rumit apabila syarikat China, Shenghe Resources, dilaporkan memiliki kepentingan strategik dalam projek lombong Kvanefjeld di Greenland. Bagi Washington, membiarkan pesaing strategik memiliki akses di kawasan yang dianggap sebagai zon pertahanan hadapan mereka adalah satu risiko keselamatan yang tidak boleh diterima.

Tentera Diraja Denmark di wilayah Greenland./ Foto: Royal Danish Army

Justeru, langkah drastik untuk “mengamankan” Greenland dilihat sebagai satu-satunya jalan untuk memecahkan monopoli China dan menjamin kelangsungan industri pertahanan Amerika.

Implikasi paling mendalam daripada ketegangan ini adalah potensi keretakan kekal dalam Perikatan Atlantik Utara (NATO). Denmark, sebuah negara sekutu yang setia kini berhadapan dengan ancaman ketenteraan daripada pelindung utamanya sendiri.

Senario ini mewujudkan paradoks Artikel 5 yang belum pernah berlaku dalam sejarah, di mana prinsip pertahanan kolektif dicabar oleh tindakan ahlinya sendiri. Kegagalan Eropah untuk bertindak tegas dalam krisis-krisis terdahulu dilihat telah memberi isyarat kepada Washington bahawa sekutu tradisinya tidak memiliki kehendak politik untuk menentang unilateralisme Amerika.

Krisis Greenland 2026 ini bukan sekadar isu perebutan wilayah terpencil, tetapi manifestasi jelas era baharu di mana doktrin “Might makes Right” kembali menguasai pentas dunia. Apabila keselamatan negara dijadikan alasan mutlak untuk mengatasi kedaulatan sempadan, negara-negara kecil kini perlu menilai semula strategi pertahanan dan diplomasi mereka dalam menghadapi dunia tanpa pengadil yang adil. -airtimes.my

#AS #Denmark #Greenland #NATO #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply