ANKARA, 1 DIS – Pesawat tempur tanpa pemandu (UCAV) Bayraktar Kizilelma telah berjaya mencipta sejarah dunia selepas berjaya memusnahkan sasaran udara menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana. Kejayaan itu dikongsikan oleh Baykar, pengeluar Bayraktar Kizilelma yang menyatakan pesawat itu telah berjaya melaksanakan penembakan misil BVR (Beyond Visual Range, BVR) terhadap sasaran udara.
Menurutnya, ujian penembakan Kizilelma terhadap sasaran udara telah menggunakan teknologi industri pertahanan Turkiye yang merangkumi misil Gokdogan yang dihasilkan institusi kajian teknologi pertahanan negara itu, TUBITAK SAGE dan juga radar AESA MURAD yang dihasilkan oleh ASELSAN. Ujian bersejarah yang berlangsung pada 30 November itu melibatkan penembakan misil BVR Gokdogan dari Kizilelma terhadap pesawat tanpa pemandu yang ditujah dengan enjin jet.
Kejayaan ujian penembakan itu telah disaksikan sendiri oleh Pengerusi Baykar Selcuk Bayraktar yang menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pencapaian penting dalam sejarah penerbangan.

Tepat ke sasaran. Tangkap layar rakaman video dari dron sasaran menunjukkan detik-detik sebelum misil Gokdogan tepat mengenai sasaran. Foto: BAYKAR
“Bayraktar Kizilelma telah mencipta kejayaan baharu dalam sejarah penerbangan global kerana berjaya mengempur sasaran dengan menggunakan misil BVR.” kata Selcuk di akaun media sosial rasmi beliau.
Sementara itu, media Turkiye melaporkan ujian tembakan itu berlangsung di kawasan Laut Hitam selepas Kizilelma berlepas dari Pangkalan Udara Merzifon.
Kementerian Pertahanan Turkiye pula mengesahkan 5 buah jet pejuang F-16 tentera udara negara itu terlibat dalam menyaksikan ujian penembakan terbabit.
Kizilelma dihasilkan di bawah program Project MIUS yang bermatlamat untuk menghasilkan pesawat tanpa pemandu tempur Turkiye. Kejayaan oleh Baykar pada kali ini secara tidak langsung menunjukkan kemampuan industri pertahanan Turkiye berganding bahu untuk menghasilkan sebuah pesawat tanpa pemandu tempur dengan keupayaan tersendiri.
Misil Gokdogan yang dihasilkan oleh Tubitak SAGE semenjak tahun 2013 pula bermatlamat untuk menggurangkan kebergantungan negara itu kepada misil AIM-120 AMRAAM. Keupayaan penembakan secara BVR ini dipacu oleh radar AESA MURAD yang dihasilkan oleh ASELSAN.
– airtimes.my
