Home GlobalTurkiye runding Eurofighter Qatar, masih utamakan F-16 dan F-35 AS

Turkiye runding Eurofighter Qatar, masih utamakan F-16 dan F-35 AS

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

ISTANBUL, 23 OKT – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dilapor tiba di Doha lewat Selasa dalam usaha Ankara memperoleh beberapa pesawat pejuang Eurofighter Typhoon terpakai daripada Qatar, menurut sumber keselamatan Turkiye.

Erdogan berlepas dari Kuwait dan bertemu Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani pada Rabu, kata pejabat Presiden Turkiye.

“Turkiye telah cuba berunding untuk memperoleh beberapa Eurofighter terpakai dari Qatar,” kata sumber itu sambil menambah Ankara turut menawarkan akses kepada jet pejuang generasi baharu negara itu, Kaan, sebagai sebahagian daripada potensi pemindahan teknologi.

Namun, rundingan tersebut masih berterusan tanpa sebarang kemajuan konkrit setakat ini.

Turkiye sejak beberapa tahun lalu berusaha memodenkan tentera udaranya, termasuk rancangan membeli 40 unit Eurofighter Typhoon baharu yang dibangunkan oleh konsortium empat negara iaitu Jerman, Britain, Sepanyol dan Itali.

Langkah itu dibuat selepas Amerika Syarikat menyingkirkan Turkiye daripada program jet pejuang F-35 pada 2019 berikutan pembelian sistem pertahanan udara Rusia S-400 oleh Ankara, yang menimbulkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan sekutu NATO.

Beberapa pemerhati pertahanan berpandangan, langkah Turkiye mendapatkan Eurofighter merupakan strategi untuk memberi tekanan kepada Washington agar mempertimbangkan semula penyertaan Ankara dalam program pesawat pejuang AS.

“Bagi Turkiye, keutamaan utama kekal pada program F-16 dan F-35,” ujar sumber itu lagi.

Pada Mei lalu, Erdogan menyatakan keyakinan bahawa sekatan AS terhadap Turkiye akan ditamatkan tidak lama lagi. Pertemuan beliau dengan Presiden AS, Donald Trump bulan lalu turut meningkatkan harapan tersebut.

Sementara itu, Duta Besar Turkiye ke Washington, Tom Barrack, berkata pada Jun bahawa sekatan berkenaan dijangka berakhir menjelang hujung tahun ini, namun sumber keselamatan memberi amaran bahawa proses itu mungkin mengambil masa lebih lama.

“Disebabkan kesesakan politik di Kongres AS, kemajuan dalam perjanjian ini tidak mungkin berlaku sebelum tahun baharu,” kata sumber itu.

Qatar sebelum ini menempah 24 unit Eurofighter pada 2017 dan dilaporkan berminat menambah 12 unit lagi pada Disember lalu.

Namun, keperluan pertahanan Doha berikutan serangan Israel ke atas tokoh Hamas bulan lalu dijangka menyebabkan permintaan Ankara menerima maklum balas berhati-hati daripada pihak Qatar. -airtimes.my

#Airtimes #EurofighterTyphoon #F-16 F-35 #Turkiye #AS #Doha #Qatar

Related Articles

Leave a Reply