Pintu lintasan Rafah bukan sekadar pintu sempadan biasa. Ia menjadi nadi utama yang menghubungkan Gaza dengan dunia luar serta lorong bantuan kemanusiaan yang paling kritikal. Walaupun gencatan senjata Gaza sedang dilaksanakan, kawalan pintu sempadan ini masih lagi menjadi persoalan.
Namun persoalan yang sering timbul, siapakah sebenarnya yang mengawal pintu lintasan ini dan mengapa kuasanya kelihatan sentiasa berubah?
Lintasan Rafah – Nadi dan Talian Hayat Gaza
Rafah ialah satu-satunya pintu darat Gaza yang berhubung dengan Mesir. Sebelum perang, ia merupakan menjadi pintu gerbang keluar masuk untuk laluan orang awam, pesakit dan warga asing. Malah, lintasan ini merupakan satu-satunya jalan masuk penghantaran bantuan apabila lintasan lain di Israel ditutup. Ramai sering menyifatkan Rafah sebagai talian hayat Gaza yang tidak dikawal terus oleh Israel sebelum perang terkini.
Sejarah ringkas kawalan
Sebelum tahun 2005, Israel mempunyai kawalan menyeluruh terhadap sempadan Gaza termasuk Rafah. Selepas pengunduran pada tahun 2005, pengurusan operasi lintasan dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin dengan pemantauan European Union Border Assistance Mission (EUBAM). Di bawah rangka ini, Mesir mengawal Lintasan Rafah di sisi negaranya.
Pada tahun 2007, selepas Hamas mengambil alih Gaza, operasi menjadi tidak menentu. EUBAM digantung dan pembukaan lintasan banyak bergantung kepada keputusan politik serta faktor keselamatan Mesir, Israel dan pihak Palestin.
Realiti selepas 2024
Pada 7 Mei 2024, tentera Israel mengumumkan mereka telah mengambil alih kawalan operasi Lintasan Rafah di sisi Gaza. Akibatnya, aliran bantuan pada ketika itu terjejas dan meningkatkan kebimbangan terhadap isu kemanusiaan. Laporan antarabangsa menyatakan Israel menempatkan kehadiran ketenteraan di kawasan lintasan dan laluan Philadelphi Corridor.
Sejak itu, struktur kawalan menjadi berlapis. Mesir mengekalkan kawalan penuh di sisi Mesir serta menentukan masa pembukaan dan senarai kategori individu atau kargo yang boleh melintas. Israel mengekalkan kawalan ketenteraan dan keputusan keselamatan di sisi Gaza. Pihak Berkuasa Palestin pula cuba mengembalikan peranan rasmi berdasarkan pengaturan 2005 dengan bantuan Eropah.
EUBAM kembali tetapi bersyarat
Pada 31 Januari 2025, Kesatuan Eropah mengumumkan pemulaan semula misi awamnya di Rafah bagi membantu pemantauan dan memudahkan pergerakan kemanusiaan. Namun, ia tertakluk kepada persetujuan pihak berkaitan. Majlis Kesatuan Eropah kemudiannya memperbaharui mandat EUBAM Rafah pada Jun 2025. Ini menandakan niat antarabangsa untuk menstabilkan operasi, namun pelaksanaan tetap bergantung kepada keadaan keselamatan dan keputusan Mesir serta Israel.
Pada Oktober 2025, laporan serantau menyebut tarikh sasaran untuk menyambung operasi EUBAM susulan gencatan senjata yang dimeterai pada awal Oktober. Walau bagaimanapun, jadual ini dinilai anjal dan bergantung kepada penilaian lapangan.
Jadi, siapa sebenarnya mengawal Lintasan Rafah pada hari ini?
Dari sisi Mesir, Kaherah masih lagi mengawal pintu dan kawasan pos imigresen di bahagian Mesir. Keputusan pembukaan atau penutupan di sisi Mesir dilaksanakan oleh pihak berkuasa Mesir berdasarkan pertimbangan keselamatan negara serta kesepakatan diplomatik.
Kedua, Israel menguatkuasakan keputusan keselamatan dan operasi ketenteraan di sisi Gaza termasuk pergerakan di kawasan bersebelahan lintasan. Pada beberapa ketika kerajaan Israel mengarahkan supaya Rafah tidak dibuka.
Selain itu, Pihak Berkuasa Palestin (Palestine Authority) berfungsi sebagai rakan operasi yang diiktiraf dalam pengaturan 2005 serta dalam rancangan semula dikawal selia Eropah. Namun keupayaan praktikalnya bergantung kepada akses lapangan serta kebenaran keselamatan daripada Mesir dan Israel.
Kesimpulannya, tiada satu entiti tunggal mengawal Rafah secara mutlak. Kuasa kawalan adalah hibrid dan bertingkat, ditentukan oleh keputusan Mesir di pintu masuknya, keputusan oleh Israel di sisi Gaza serta kerangka pengawasan antarabangsa apabila keadaan mengizinkan.

Israel telah tawan Rafah pada Mei 2024. Situasi ini sekaligus menyukarkan kemasukan bantuan kemanusian ke Gaza. – (Israel Defense Forces)
Pernah satu ketika, trak bantuan kemanusiaan bersusun di Lintasan Rafah pada bahagian Mesir kerana tidak dapat memasuki Gaza. Ini kerana tindakan Israel menutup lintasan tersebut. Secara langsung, memperlihatkan realiti bahawa Tel Aviv berupaya mengarahkan status operasi dari sisi Gaza, manakala Mesir memegang kunci fizikal di pos sempadannya.
Situasi sebegini sememangnya memberikan kesan secara langsung kepada bantuan kemanusiaan.
Lintasan Rafah: Pintu sempadan yang dijaga lebih dari dua tangan
Lazimnya, mana-mana lintasan sempadan di dunia adalah dijaga oleh dua negara berjiran. Namun, realiti di Rafah adalah berbeza. Mesir memegang kunci di kawasanya. Israel pula memegang kuasa keputusan keselamatan di sisi Gaza. Pihak Berkuasa Palestin dan Kesatuan Eropah cuba memulihkan kerangka operasi yang tersusun.
Realiti semasa menunjukkan Tel Aviv boleh mengarahkan penutupan yang menangguhkan aliran bantuan, manakala pembukaan semula memerlukan persetujuan berlapis. Selagi dimensi keselamatan dan politik masih berkecamuk, keperluan kemanusiaan menjadi taruhan. Malah, Rafah akan kekal sebagai pintu sempadan yang paling sukar dibuka secara konsisten. — airtimes.my
#Airtimes #Rafah #sempadan #bantuankemanusiaan #Israel #Mesir #Gaza #Palestin
