ANKARA, 22 OKT – Syarikat pertahanan Turkiye, ASELSAN mencatat kejayaan penting apabila radar kawalan tembakan MURAD 100-A jenis Active Electronically Scanned Array (AESA) berjaya melaksanakan penerbangan pertama pada pesawat tempur tanpa pemandu Bayraktar KIZILELMA.
Radar MURAD 100-A direka untuk memberikan kawalan pancaran elektronik yang tangkas serta keupayaan mengesan dan menjejak pelbagai sasaran secara serentak di udara dan darat.
Selain itu, ia turut menyokong panduan peluru berpandu jarak luar penglihatan (beyond-visual-range missile guidance) bagi memperkukuh keupayaan serangan jarak jauh.
Menurut ASELSAN, integrasi sistem radar itu pada KIZILELMA menandakan kesediaannya untuk digunakan dalam operasi sebenar dan mengesahkan tahap keserasian radar tersebut terhadap pelbagai platform udara.
Sebelum ini, sistem MURAD 100-A telah dipasang pada pesawat tanpa pemandu Bayraktar AKINCI dengan penerbangan pertama pada Februari 2025, diikuti beberapa ujian lanjutan yang berjaya mengesahkan fungsi radar itu.
Radar ini dianggap sebagai “mata” utama kepada pesawat tempur moden kerana ia bukan sahaja mengesan ancaman, malah menjejak dan membimbing peluru berpandu secara tepat.
Teknologi berasaskan Gallium Nitride (GaN) serta pembentukan pancaran digital pada tahap sub-array membolehkan ia beroperasi secara pantas dan stabil walaupun dalam persekitaran peperangan elektronik yang kompleks.
Dengan kejayaan ini, Turkiye terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu negara peneraju dalam pembangunan radar tempur generasi baharu yang meningkatkan keberkesanan pesawat berawak dan tanpa pemandu di medan udara. – airtimes.my
#Airtimes #ASELSAN #radar #MURAD100-A #dron #Bayraktar #KIZILELMA #AKINCI #Turkiye
