Home Pertahanan dan Keselamatan Agong berkenan sempurnakan Istiadat pertukaran Panji-Panji Agong 2025

Agong berkenan sempurnakan Istiadat pertukaran Panji-Panji Agong 2025

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 23 OKT – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat bagi menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Agong Tahun 2025 yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi.

Markas Angkatan Tentera memaklumkan, upacara penuh adat ketenteraan itu menyaksikan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima Panji-Panji baharu bagi menggantikan yang lama dan lusuh.

“Istiadat ini juga merupakan kali pertama diadakan sejak Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Pemerintah Ulung Negara.

“Majlis ini melambangkan penghormatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya lagi, panji-Panji menjadi simbol kehormatan, semangat juang dan ketaatan ATM kepada Raja dan Negara serta melambangkan tanggungjawab dan warisan perjuangan setiap anggotanya.

“Secara tradisinya, hanya pasukan yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang akan menerima gelaran “Diraja”. Nama-nama peperangan yang pernah disertai disulam pada Panji-Panji sebagai Battle Honours atau Penghormatan Tempur.

“Perbarisan bersejarah ini melibatkan empat detasmen dengan kekuatan keseluruhan 34 pegawai dan 430 anggota, yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali; Pegawai Memerintah Rejimen Kedua KAD, Leftenan Kolonel Ahmad Faisal Muda; dan Pegawai Memerintah Markas Tentera Udara, Kolonel Azri Amad TUDM.

“Istiadat pertukaran ini menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga ATM serta menegaskan bahawa keamanan dan kedaulatan negara bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. ATM kekal berpegang kepada semangat “Duty, Honour, Sacrifice” dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negara,” tegasnya.

Turut hadir menyaksikan istiadat pagi ini ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM serta pegawai-pegawai kanan ATM. -airtimes.my

#AirTimes #ATM #RAMD #KAD #TUDM #PanjiPanjiAgong

Leave a Reply