Peperangan udara sejak abad ke-20 sering digambarkan dengan pesawat pejuang berkelajuan tinggi, misil berpandu dan keupayaan manuver di udara. Namun, landskap peperangan moden kini berubah dengan kemunculan konsep tempur udara generasi baharu.
Future Combat Air System (FCAS) yang dibangunkan oleh Perancis, Jerman dan Sepanyol melalui Airbus menjadi contoh jelas bagaimana peperangan udara akan didefinisikan semula. Ia bukan lagi tentang sebuah jet paling canggih tetapi tentang rangkaian sistem tempur yang saling berhubung.
Namun begitu, program ini berhadapan dengan kontroversi tersendiri apabila didakwa berlakunya pergeseran di antara Airbus dan Dassault Aviation.
Asal-usul dan pelancaran FCAS
FCAS mula diumumkan pada Julai 2017 apabila Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel menyatakan hasrat kerjasama membangunkan sistem tempur udara generasi baharu. Pengumuman itu menandakan permulaan politik dan dasar kepada projek besar ini.
Kemudian, pada 12 Februari 2020, program FCAS memasuki fasa teknikal penting apabila kontrak demonstrator (Phase 1A) ditandatangani bersama syarikat utama seperti Dassault, Airbus, MTU, Safran, MBDA dan Thales. Kontrak ini membuka jalan kepada pembangunan Next Generation Fighter, Remote Carriers, Combat Cloud serta enjin generasi baharu. Pada Disember 2022 pula, projek ini melangkah ke fasa 1B yang memberi tumpuan kepada pembangunan lanjut, integrasi teknologi dan demonstrasi sistem yang lebih menyeluruh.

Future Combat Air System (FCAS). FOTO: Airbus
Apa itu FCAS?
FCAS ialah sebuah sistem bersepadu atau “system of systems” yang menggabungkan pelbagai elemen utama untuk beroperasi secara kolaboratif. Terasnya ialah Next Generation Fighter (NGF), iaitu pesawat berteknologi tinggi yang direka bagi menggantikan jet generasi semasa. NGF tidak beroperasi bersendirian. Ia disokong oleh Remote Carriers, pesawat tanpa pemandu yang boleh melaksanakan tugas serangan, gangguan elektronik atau misi pengawasan.
Keseluruhan elemen ini dihubungkan melalui Combat Cloud, iaitu rangkaian komunikasi yang membolehkan perkongsian data masa nyata antara pesawat berawak, pesawat tanpa pemandu, aset laut, darat, ruang angkasa dan siber. Dengan cara ini, FCAS bukan sekadar pesawat baharu tetapi satu ekosistem peperangan udara bersepadu.
Program ini diterajui oleh tiga negara utama iaitu Perancis, Jerman dan Sepanyol. Belgium turut menyertai sebagai pemerhati dengan potensi untuk menjadi pihak penuh pada masa hadapan. Industri utama yang terlibat termasuk Dassault Aviation yang bertanggungjawab terhadap pembangunan NGF, Airbus yang mengetuai Remote Carriers dan Combat Cloud, Indra Sistemas yang mewakili Sepanyol, serta konsortium enjin Safran dan MTU Aero Engines. MBDA dan Thales pula berperanan dalam pembangunan sistem senjata dan elektronik.
Kerjasama ini menggambarkan usaha Eropah untuk mencapai autonomi strategik dalam bidang pertahanan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.

FCAS merupakan Next Generation Fighter (NGF), iaitu pesawat berteknologi tinggi yang direka bagi menggantikan jet generasi semasa. FOTO: Hiasan
Kos dan pembiayaan program
Program FCAS dianggarkan menelan kos antara 50 hingga 100 bilion euro sepanjang jangka hayatnya. Fasa pembangunan 1B sahaja melibatkan ratusan juta euro dengan Indra menerima lebih 600 juta euro bagi penyelidikan dan pembangunan teknologi sehingga 2025.
Kos besar ini mencerminkan cabaran teknikal, risiko kelewatan dan kerumitan integrasi pelbagai sistem. Walaupun mahal, ia dilihat sebagai pelaburan strategik bagi memastikan daya saing industri pertahanan Eropah.
Mengapa Eropah membangunkan FCAS?
Matlamat utama pembangunan FCAS adalah untuk menjamin kedaulatan pertahanan Eropah. Dalam era di mana teknologi pertahanan banyak dikuasai kuasa besar lain, Eropah mahu mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar. FCAS juga berperanan mengukuhkan inovasi industri, mewujudkan peluang pekerjaan dan memastikan daya saing global.
Selain itu, FCAS dibangunkan untuk menghadapi ancaman moden yang lebih kompleks. Peperangan masa kini bukan hanya melibatkan konflik bersenjata, tetapi juga ancaman siber, serangan maklumat dan penguasaan ruang angkasa. FCAS dibina untuk menguasai semua dimensi ini.

Pesawat berteknologi tinggi ini akan disokong oleh Remote Carriers, pesawat tanpa pemandu yang boleh melaksanakan tugas serangan, gangguan elektronik atau misi pengawasan. FOTO: Airbus
Fasa pembangunan dan garis masa
Pembangunan FCAS dirancang dalam beberapa tahap. Pertama, pada akhir dekad 2020-an, tumpuan diberikan kepada peningkatan kesedaran situasi melalui integrasi sistem dan sensor. Kedua, pada dekad 2030-an, konsep kerjasama antara jet berawak dan Remote Carriers dijangka dilaksanakan.
Ketiga, pada Disember 2022, fasa 1B bermula untuk mengukuhkan pembangunan lanjut dan demonstrasi sistem yang lebih lengkap. Keempat, menjelang 2040, pelancaran penuh Next Generation Weapon System akan menjadi teras operasi FCAS.
Cabaran teknologi dan risiko
Walaupun konsepnya revolusioner, FCAS berdepan pelbagai cabaran. Integrasi sistem berbilang negara memerlukan piawaian seragam, komunikasi selamat dan perlindungan data daripada ancaman siber. Kos pembangunan yang tinggi serta risiko kelewatan turut menjadi isu besar yang perlu ditangani.
Faktor interoperabiliti juga mencabar kerana FCAS mesti mampu beroperasi bersama sistem lama dan sekutu NATO. Jika gagal mencapai keserasian, kelebihan strategik FCAS mungkin terhad dalam lingkungan tertentu sahaja.
Program FCAS menunjukkan bahawa peperangan udara sedang bergerak ke arah dimensi baharu. Ia bukan lagi tentang siapa yang memiliki jet paling pantas atau misil paling berkuasa, tetapi siapa yang mampu menguasai maklumat, data dan jaringan kolaboratif. Dengan jangkaan pelancaran menjelang 2040, FCAS berpotensi menjadi pemangkin perubahan besar dalam corak peperangan global. -airtimes.my
#FCAS #Airbus #NGF # teknologipertahanan #airtimes
