KUALA LUMPUR, 10 Jun – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa amat dukacita susulan tragedi kemalangan yang meragut 15 nyawa melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli awal pagi Isnin.
Baginda bertitah agar semua pihak berkaitan menjadikan kejadian menyayat hati itu sebagai pengajaran, dengan melaksanakan langkah-langkah preventif bagi mengelakkan tragedi seumpama itu berulang.
“Walaupun kematian adalah ketentuan Ilahi, manusia tetap bertanggungjawab untuk berusaha mengelak daripada bencana dan musibah,
“Banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam kenyataan, semalam.
Sultan Nazrin turut menegaskan keperluan meneliti kelemahan sedia ada dan melakukan penambahbaikan, terutama dari aspek penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan keselamatan jalan raya.
Terdahulu, Sultan Nazrin bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI, berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menziarahi mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Kemalangan yang berlaku di Kilometer 53 JRTB itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI, mengorbankan 15 individu, manakala 24 lagi cedera.
Seramai 22 pelajar menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gerik, manakala dua lagi masih dirawat di HRPB.
Baginda berdua turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, khususnya ibu bapa yang kehilangan anak dalam usia muda.
Baginda mendoakan agar roh mangsa dikurniakan keampunan serta ditempatkan dalam kalangan solihin dan solehah, dan semoga keluarga mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian ini.-airtimes.my
#semasa #kemalangan #Gerik #UPSI #bas #airtimes