KUALA LUMPUR, 9 Jun – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mempersoalkan tujuan sebenar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang meminta syarikat telekomunikasi (Telco) menyerahkan data lengkap pengguna telefon mudah alih di seluruh negara.
Ketua Penerangannya, Rafique Rashid Ali menyifatkan langkah tersebut sebagai mencurigakan dan membangkitkan kebimbangan besar terhadap hak privasi rakyat serta potensi penyalahgunaan maklumat peribadi.
“Apakah yang ingin SKMM lakukan dengan data ini? Untuk promosi pelancongan tempatan? Itu alasan mereka tetapi apa niat sebenar?” soal beliau dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Menurut laporan portal antarabangsa, SKMM didakwa menghubungi penyedia perkhidmatan Telco untuk mendapatkan data pengguna, yang dipercayai merangkumi maklumat sensitif seperti rekod panggilan, penggunaan internet, lokasi GPS dan pergerakan pengguna.
Sehubungan itu, Rafique menegaskan bahawa permintaan sedemikian adalah keterlaluan dan tidak berasas, malah tiada keperluan konkrit untuk kerajaan mengakses data rakyat secara besar-besaran.
“Sudahlah isu privasi, ditambah pula dengan kemungkinan data itu disalah guna atau bocor kepada pihak lain. SKMM usah tutup bangkai gajah dengan nyiru,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyelar sikap kerajaan yang menurutnya semakin ghairah menghimpun data rakyat melalui pelbagai inisiatif di bawah kerangka pentadbiran MADANI.
“Terlalu banyak program yang disusun MADANI nampaknya mahukan akses kepada data rakyat. Sampai bila kita harus biarkan ini berlaku?” soalnya.
Dalam masa sama, Rafique memberi amaran kepada syarikat telco agar tidak tunduk kepada permintaan luar batas yang boleh menjejaskan kepercayaan pelanggan.
“Rakyat yang bayar guna perkhidmatan kamu. Kerajaan boleh bertukar dan dijatuhkan rakyat, tetapi rakyat tetap ada,” katanya.
Kenyataan itu turut mengaitkan isu ini dengan perkembangan politik semasa, termasuk laporan mengenai permohonan kekebalan oleh pemimpin tertinggi negara yang menurut Rafique, menambah kegusaran rakyat terhadap ketelusan dan penyalahgunaan kuasa.
“Dalam minggu yang sama pemimpin utama mohon kekebalan, berita seperti ini amat merisaukan rakyat,” katanya.
PEJUANG menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang menjunjung kebebasan individu, dan sebarang bentuk pengumpulan data mesti dilakukan secara telus, berasas dan menghormati hak peribadi rakyat.
“Pada SKMM, ini negara demokrasi, bukan negara polis,” tegas Rafique.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, permintaan data panggilan telefon bimbit oleh SKMM daripada Telco, bertujuan menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti, termasuk bagi penambahbaikan infrastruktur rangkaian.
Tegasnya, data yang diminta, tidak mengandungi identiti dan maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.
Menurutnya, pendekatan baharu yang lebih terperinci, akan membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar rakyat dan merapatkan jurang digital secara lebih efektif.
Sebelum ini, agensi media South China Morning Post melaporkan bahawa SKMM telah mengeluarkan arahan mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit yang dibuat dari Januari hingga Mac.
Namun, pada Jumaat lepas, SKMM dalam satu kenyataan memperjelas bahawa data yang diminta tidak mengandungi identiti dan sebarang maklumat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti mana-mana individu.-airtimes.my
#semasa #SKMM #data #telco #airtimes #Malaysia