Home SemasaPembenihan awan dilancar di Kedah, hadapi cuaca panas Monsun Barat Daya

Pembenihan awan dilancar di Kedah, hadapi cuaca panas Monsun Barat Daya

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kerajaan menggerakkan operasi pembenihan awan secara segera di kawasan kritikal termasuk Empangan Malut, Kedah dalam usaha menangani kesan cuaca panas berpanjangan yang dijangka berlaku sepanjang Monsun Barat Daya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menunjukkan pengurangan hujan antara 20 hingga 40 peratus dijangka berlaku di utara Semenanjung dan barat Sarawak, dengan peningkatan ketara dalam bilangan hari tanpa hujan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, keadaan cuaca kering berpanjangan ini berisiko tinggi menyebabkan pelbagai impak negatif seperti isu kesihatan awam, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan/belukar, jerebu, serta menjejaskan hasil pertanian.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada pada tahap siap sedia dengan kekuatan 24,053 anggota, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil 150 tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun dan pendakwaan mahkamah ke atas kes pembakaran terbuka.

“Sementara pembenihan awan disarankan untuk dilaksanakan segera di Empangan Malut, Kedah,

“Sebagai langkah pemantapan, saya telah mengarahkan agar aset-aset kritikal seperti pam air dan perigi tiub (tubewell) milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digunakan sepenuhnya oleh agensi tindak balas seperti JBPM bagi operasi pemadaman kebakaran,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Putrajaya, hari ini.

Tambah Zahid, kerajaan kini dalam fasa mobilisasi penuh yang turut melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Selain itu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), JAS, JPS, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MET Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat air negeri juga terus berusaha untuk memperkukuh pemantauan, logistik serta komunikasi risiko di seluruh negara.

“Kerajaan MADANI sentiasa komited untuk melindungi rakyat. Saya menyeru semua agar terus berwaspada, elakkan pembakaran terbuka, hadkan aktiviti luar, dan pastikan pengambilan air mencukupi,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau juga mengulangi prinsip ‘No One Left Behind’ dalam pemberian bantuan kepada rakyat yang terjejas, dengan penyaluran bantuan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) dilaksanakan secara adil dan telus.

“BWI mesti disalurkan secara adil, telus, dan berdasarkan keperluan sebenar rakyat, tanpa mengira latar belakang,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#semasa #airtimes #Malaysia #pembenihanawan #musimbaratdaya

Related Articles

Leave a Reply