YAMAN, 4 Jun – Houthi mendakwa telah melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik ‘Palestine-2’ ke arah Lapangan Terbang Lod (Ben Gurion), sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan tentera Zionis di Gaza.
Menurut kenyataan rasmi yang disiarkan melalui saluran milik kumpulan Houthi, Al-Masirah TV, serangan itu dianggap sebagai operasi ketenteraan khas yang berjaya dan dilancarkan dengan menggunakan peluru berpandu balistik.
“Kami menyerang Lapangan Terbang Lod di wilayah Jaffa yang diduduki dan berjaya menghentikan operasi lapangan terbang tersebut,
“Pesawat tentera Amerika juga dihalang untuk mendarat buat hari kedua berturut-turut,” kata jurucakap tentera Yahya Sarea dalam kenyataan tersebut.
Tambahnya, serangan ini adalah sebahagian daripada tindak balas terhadap jenayah pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Operasi yang dijalankan pada semalam ini telah menyebabkan jutaan penjajah Zionis melarikan diri ke tempat perlindungan dan menghentikan segala aktiviti di lapangan terbang tersebut.
Yahya turut memberi amaran bahawa operasi ketenteraan akan diteruskan dan diperluas sekiranya pencerobohan serta kepungan terhadap Gaza tidak dihentikan.
“Kami tidak akan berdiam diri terhadap jenayah, pembunuhan dan kepungan yang berlaku di Gaza. Yaman akan terus menolong agama Allah dan mempertahankan mereka yang tertindas,” katanya lagi.
Dalam kenyataan tersebut juga, pasukan Houthi menzahirkan sokongan penuh kepada rakyat Palestin serta para Mujahidin yang berjuang di Gaza.
Sementara itu, konflik di Gaza terus meruncing dengan angka korban yang semakin meningkat akibat serangan dan sekatan bekalan makanan oleh pihak Zionis.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sejak bermulanya serangan Israel pada 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 54,510 rakyat Palestin telah terkorban, manakala 124,901 lagi cedera.-airtimes.my
#AirTimes #Yaman #Gaza #Israel #PeluruBerpandu #Houthi #Palestin #Ketenteraan
