KUALA LUMPUR, 4 Jun – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa tiada diskriminasi tidak berperlembagaan berlaku terhadap pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam isu pelarasan pencen.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hashim Hamzah bersama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim, membenarkan rayuan yang difailkan oleh Kerajaan Malaysia, Majlis Angkatan Tentera dan dua lagi pihak, sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Februari lalu.
Hakim Wong Kian Kheong ketika menyampaikan penghakiman berkata Mahkamah Tinggi telah melakukan kekhilafan dari sudut undang-undang apabila memutuskan bahawa wujud diskriminasi terhadap pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 (pesara pra-2013).
“Tindakan kerajaan tidak bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan kerana perbezaan yang dibuat terhadap pesara pra-2013 dan pasca-2013 berasaskan pengelasan yang sah dan munasabah,
“Tidak wujud layanan tidak sama kerana pelarasan pencen juga tidak diberikan kepada pesara pasca-2013. Malah, pelaksanaan dasar adalah bertujuan memperbaiki skim perkhidmatan anggota ATM yang masih berkhidmat,” jelasnya.
Beliau merujuk kepada dua dokumen utama iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Pindaan Syarat Perkhidmatan ATM (CPI) bertarikh 17 Januari 2013 dan Surat Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JJMM) sebagai asas perbezaan tersebut.
Menurutnya, kedua-dua dokumen itu bukan pelarasan gaji untuk pesara, tetapi pindaan terhadap syarat perkhidmatan bagi anggota ATM yang masih dalam perkhidmatan, justeru dakwaan diskriminasi adalah tidak berasas.
“Pesuruhjaya kehakiman telah terkhilaf dari sudut undang-undang apabila memutuskan bahawa wujud diskriminasi yang tidak berperlembagaan. Keputusan kerajaan adalah munasabah,” jelasnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman pemula yang difailkan oleh 50 pesara ATM yang diketuai oleh Mejar (Bersara) Mior Rosli Mior Md Jaafar terhadap kerajaan, Majlis Angkatan Tentera dan 2 lagi berhubung penyelarasan pencen mereka yang bersara sebelum 1 Jan 2013.
Dalam tuntutan itu, mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.
Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Selain menuntut pelarasan, mereka juga mahu Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982 dipinda agar selaras dengan tuntutan tersebut.
Plaintif mendakwa ketidakselarasan pencen itu merupakan pelanggaran hak asasi di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan dan menyebabkan jurang ketara antara dua kumpulan pesara ATM.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa keputusan dasar kerajaan adalah wajar dan tidak bersifat menindas kerana mempunyai kaitan langsung dengan usaha penambahbaikan perkhidmatan anggota tentera aktif.
Sementara itu, peguam yang mewakili pesara ATM, Hanif Khatri Abdulla dilaporkan berkata, pihaknya akan meneliti alasan penghakiman sebelum membuat sebarang keputusan untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan.
“Kami ada 30 hari untuk mengambil tindakan lanjut. Jika kami memilih untuk merayu, permohonan kebenaran perlu difailkan terlebih dahulu,” katanya.
#pertahanan #veteranATM #Mahkamah #pencen #pelarasan #Malaysia