Home SemasaLIMA’25 catat 2,300 rundingan perniagaan kukuh ekonomi strategik

LIMA’25 catat 2,300 rundingan perniagaan kukuh ekonomi strategik

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

LANGKAWI, 24 MEI – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 terus relevan sebagai platform ekonomi apabila menjadi medan pertemuan syarikat-syarikat pertahanan dan bakal pembeli.

Sepanjang edisi kali ini, sebanyak 2,300 pertemuan dan perbincangan perniagaan telah diadakan, melibatkan pelbagai sektor dan industri dari dalam dan luar negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lebih 1,400 sesi padanan perniagaan secara Business-to-Business (B2B) telah direkodkan sepanjang lima hari penganjuran LIMA 2025.

“Daripada jumlah tersebut, 900 lagi melibatkan sesi Business-to-Government (B2G), memperlihatkan keterlibatan aktif antara pihak industri dengan agensi serta kementerian kerajaan,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Penutupan LIMA 2025 di AT.M.O.S Sphere Dome, Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), hari ini.

Menurut beliau, kejayaan penganjuran edisi ke-17 ini membuktikan bahawa LIMA bukan sahaja kekal sebagai platform perdagangan pertahanan dan keselamatan terkemuka di rantau ini, malah terus menyumbang secara signifikan kepada pembangunan industri tempatan.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) turut menekankan kepentingan untuk memahami perkembangan teknologi di peringkat antarabangsa, memandangkan tahap kesiapsiagaan negara amat bergantung kepada keupayaan Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pertahanan global.

Dalam hal ini, beliau turut menyeru orang ramai agar menyedari bahawa sektor pertahanan bukan semata-mata berkait soal ketenteraan, sebaliknya turut merangkumi aspek teknologi, kepakaran serta kecekapan tenaga kerja negara yang berkemahiran tinggi.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan lebih ramai penyertaan daripada generasi muda yang kompeten untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperkasa pertahanan negara selaras dengan keperluan masa hadapan.

LIMA dijangka kembali semula pada tahun 2027 sebagai kesinambungan kepada kejayaan edisi kali ini.

Sepanjang lima hari penganjuran, LIMA 2025 telah mencatatkan penyertaan sebanyak 860 pempamer dari 24 negara, dengan kehadiran lebih 450,000 pengunjung. Antara pengisian utama termasuk pertunjukan udara dan maritim, forum industri serta majlis menandatangani kontrak, memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat (LOI) yang melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM11 bilion.

Majlis penutupan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan barisan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. -airtimes.my

#LIMA2025 #Malaysia #MINDEF #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply