SANAA, 5 MEI – Kumpulan Houthi yang disokong Iran semalam mengumumkan pelaksanaan sekatan udara menyeluruh ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap peluasan operasi ketenteraan di wilayah bergolak.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui saluran media kumpulan itu, jurucakap tentera Houthi, Brigadier Jeneral Yahya Saree menyeru semua syarikat penerbangan antarabangsa agar mengambil serius amaran tersebut demi keselamatan para penumpang mereka.
“Sekatan ini berkuat kuasa serta-merta. Kami akan terus menyasarkan lapangan terbang Israel secara berulang, khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Lod (Ben Gurion) berhampiran Tel Aviv,” katanya.
Saree turut menyatakan bahawa kumpulannya tidak akan berdiam diri terhadap tindakan ketenteraan Israel yang dilihat cuba mencetuskan ketegangan di negara-negara Arab termasuk Lubnan dan Syria.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman dilaporkan mengenai kawasan berhampiran jalan masuk ke Lapangan Terbang Ben Gurion, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penumpang.
Menurut Angkatan Pertahanan Israel (IDF), ini merupakan kali pertama kawasan lapangan terbang itu terkena serangan peluru berpandu sejak konflik di Gaza bermula pada Oktober 2023. Tentera mendakwa kejadian itu berlaku berikutan masalah teknikal pada sistem pemintas peluru berpandu.
Serangan tersebut berlaku menjelang mesyuarat Kabinet Israel bagi meluluskan peluasan operasi ketenteraan ke atas Gaza. Ketua Turus IDF, Leftenan Jeneral Eyal Zamir turut mengesahkan panggilan masuk puluhan ribu anggota simpanan untuk dikerahkan dalam tempoh terdekat.
Susulan serangan itu, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa mengambil langkah segera membatalkan atau menangguhkan penerbangan ke Israel. Perang berlarutan dengan Hamas serta ketegangan dengan Hezbollah sebelum ini turut menyebabkan banyak syarikat menggantung operasi ke Israel itu.
Israel pula berikrar akan membalas serangan Houthi dengan tindakan “tujuh kali ganda”, menjadikan insiden ini satu lagi titik panas dalam kemelut serantau yang semakin membarah.
Sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober 2023, kumpulan Houthi telah melancarkan pelbagai serangan peluru berpandu ke arah Israel. Sebahagian besar berjaya dipintas, namun terdapat beberapa serangan yang berjaya melepasi sistem pertahanan udara Israel dan menyebabkan kerosakan.
Israel juga dilaporkan telah melancarkan beberapa serangan balas terhadap kedudukan Houthi di Yaman sebagai respon terhadap siri serangan tersebut. – airtimes.my
#Houthi #Israel #Global #AirTimes #YahyaSaree #pertahanan