if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa PM: Tiada kompromi terhadap dasar strategik dalam rundingan perdagangan

PM: Tiada kompromi terhadap dasar strategik dalam rundingan perdagangan

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 5 MEI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada dasar utama negara akan dikompromi dalam sebarang rundingan perdagangan termasuk dengan Amerika Syarikat (AS), meskipun Malaysia sedang berunding untuk mengurangkan atau mengecualikan tarif timbal balas yang dikenakan ke atas negara ini.

Dalam sidang khas Parlimen hari ini, Anwar memberi jaminan bahawa rundingan yang dijalankan tetap berpaksikan kepentingan nasional dan tidak akan menggugat dasar-dasar utama yang telah lama menjadi asas kepada pembangunan negara.

“Kerajaan juga ingin menegaskan bahawa tiada dasar utama negara, termasuk hak Bumiputera, keperluan vendor tempatan atau perlindungan sektor strategik, akan dikompromi dalam mana-mana rundingan,

“Kajian terhadap halangan bukan tarif (NTB) hanya akan melibatkan peraturan yang tidak lagi relevan, dan semua perubahan akan dilakukan melalui proses Kerajaan yang telus dan inklusif,” katanya.

Ujar beliau, sebarang perubahan dasar atau cadangan yang timbul daripada rundingan perdagangan bukan sahaja tertakluk kepada kelulusan Kabinet, malah boleh dibentangkan ke Parlimen sekiranya perlu.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan kebimbangan awam bahawa Malaysia mungkin perlu mengubah beberapa peraturan perdagangan sebagai syarat untuk mendapat pengecualian tarif daripada AS.

“Kita tidak memilih jalan mudah. Kita tidak menyerah kepada tekanan. Kita memilih untuk berunding secara berprinsip, demi mempertahankan pekerjaan rakyat, pelaburan masa hadapan dan
kedaulatan ekonomi negara.

“Inilah erti kepimpinan sebenar, bukan dengan retorik, tetapi dengan keputusan strategik yang berani dan berpaksikan kepentingan negara,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, ASEAN memilih untuk tidak mengambil tindakan balas terhadap AS berhubung isu perdagangan, sebaliknya akan meneruskan rundingan secara dua hala serta di peringkat ASEAN.

Selain itu, ASEAN telah menubuhkan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN buat pertama kalinya sebagai strategi bersama bagi berdepan tekanan ekonomi dari Amerika Syarikat.

“ASEAN senada dan bersetuju untuk tidak mengambil tindakan balas kepada Amerika Syarikat tetapi memilih untuk berbincang di meja rundingan. Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN turut diwujudkan bagi mengukuhkan pemantauan dan penyelarasan dasar di peringkat ASEAN,” katanya pada Isnin.

Ujar Anwar, satu mesyuarat antara menteri-menteri perdagangan ASEAN dan China akan diadakan pada 19 Mei bagi membincangkan hal berkaitan dan merangka strategi seterusnya. – airtimes.my

#AirTimes #perdagangan #TarifAS #Malaysia #hak

Related Articles

Leave a Reply