JAKARTA, 9 APRIL – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan kesediaan negaranya untuk memberikan perlindungan sementara kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat konflik perang di Gaza.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, usaha yang melibatkan anggaran seramai 1,000 orang bagi kumpulan pertama itu ketika memulakan lawatannya ke rantau Timur Tengah dan Turkiye pada Rabu.
“Kita bersedia mengevakuasi mereka yang cedera, trauma, anak-anak yatim,” kata Prabowo sambil menambah, bersedia menghantar pesawat bagi mengambil mangsa-mangsa tersebut.
Sehubungan itu, beliau telah mengerahkan Menteri Luar Negeri, Sugiono untuk segera berunding dengan pihak Palestin dan pihak berkaitan untuk merancang proses pelaksanaan pemindahan rakyat yang terkesan.
“Indonesia, negara majoriti Muslim terbesar di dunia berhasrat memainkan peranan lebih aktif dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik di Gaza,” jelasnya.
Probow turut menyatakan, Indonesia berhasrat untuk terlibat lebih dalam bagi mencapai penyelesaian terhadap konflik ini, walaupun ianya rumit dan penuh cabaran.
“Komitmen Indonesia dalam menyokong keselamatan dan kemerdekaan rakyat Palestin telah mendorong kerajaan kami bertindak lebih aktif,” katanya menjelang lawatan luar negara ke Turki, Mesir dan Qatar.
Jakarta sebelum ini lantang menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara dan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Prabowo turut menegaskan penempatan rakyat Palestin di Indonesia adalah bersifat sementara sehingga pulih sepenuhnya dan keadaan di Gaza kembali selamat. -airtimes.my
#AirTimes #Gaza #Palestin #Indonesia