BEIJING, 21 MAC – Seorang bekas penolong jurutera di sebuah institut penyelidikan saintifik domestik di China dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah menjual rahsia negara kepada agensi perisikan asing.
Individu berkenaan, yang dikenali sebagai Liu, didapati secara haram menyalin dan menjual sejumlah besar maklumat sulit atas dorongan peribadi dan tekanan kewangan.
Media antarabangsa melaporkan, Kementerian Keselamatan Negara (MSS) China dalam kenyataannya mendedahkan, Liu mula bertindak selepas merasa tidak adil apabila dinafikan kenaikan pangkat.
Justeru, Liu bertindak menyalin bahan sulit secara rahsia dengan niat untuk menggunakannya sebagai bahan ugutan dan balas dendam selepas meletak jawatan.
Difahamkan, selepas meninggalkan jawatannya, Liu beralih ke dunia pelaburan namun mengalami kerugian besar akibat perdagangan saham berisiko tinggi.
Terdesak menampung hutangnya yang meningkat, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk menjual rahsia negara kepada agensi perisikan asing dengan berbekalkan latar belakangnya untuk mendapatkan pelanggan.
Antara usahanya termasuklah menggunakan pelbagai identiti palsu, mencipta katalog maklumat sulit, membuka pelbagai akaun dalam talian, membeli kad SIM tanpa nama dan menukar saluran komunikasi secara kerap.
Malah, untuk berhubung dengan agensi perisikan asing, dia turut menggunakan kod rahsia yang telah diatur terlebih dahulu.
Namun, Liu telah diperdaya sehingga membolehkan pembelinya memperoleh bahan sulit tersebut pada harga yang sangat rendah.
Liu yang masih terdesak untuk mendapatkan wang bagi melunaskan hutangnya, tidak berhenti di situ. Dia memutuskan untuk keluar dari China dengan harapan dapat menjual lebih banyak rahsia negara pada harga lebih tinggi.
Bagaimanapun, cubaan Liu akhirnya gagal apabila pihak keselamatan bertindak menahannya. Ketika siasatan, Liu mengaku bersalah atas kesemua jenayah yang dilakukan.
Mahkamah mendapati Liu bersalah atas kesalahan pengintipan dan penjualan rahsia negara secara haram. Dia dijatuhi hukuman mati dengan perampasan hak politik sepanjang hayat. -airtimes.my
#Perisikanasing #China #rahsianegara #maklumatsulit #AirTimes