ANKARA, 23 FEB – Norway dan Sepanyol menolak rancangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza.
“Gaza adalah tanah rakyat Palestin dan penduduk Gaza. Rakyat Palestin di Gaza mesti kekal di Gaza,” tegas Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares.
Laporan Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan pihak Sepanyol yang menegaskan rancangan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan tetap memberi sokongan terhadap hak-hak rakyat Palestin.
Sementara itu, Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, menyuarakan kebimbangan atas rancangan Trump berikutan beberapa isyarat yang dikeluarkan bagi pengusiran rakyat Palestin ke tanah lain.
“Itu sama sekali bukan pandangan kami. Itu adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa,” katanya yang turut menekankan kepentingan memperbaiki keadaan hidup rakyat Palestin yang lebih baik dengan memastikan hak mereka atas memiliki negara sendiri.
Pada masa sama, Eide menyatakan pembinaan semula Gaza yang musnah oleh keganasan dari Agkatan Pertahanan Israel perlu melampaui pemulihan fizikal, yang mana politik turut perlu dibina semula.
Eide menekankan keperluan untuk menyambung semula Gaza dengan Tebing Barat di bawah pentadbiran Palestin yang bersatu.
“Pembinaan semula politik itu perlu menyambungnya semula dengan Tebing Barat dari segi politik, bermakna kita sekali lagi mempunyai pihak berkuasa Palestin yang akan mentadbir seluruh wilayah Palestin seperti yang diiktiraf dalam Perjanjian Oslo, dan kita boleh bergerak ke hadapan untuk menubuhkan sebuah negara yang sebenar,” tegasnya.
Norway, pada tahun lalu secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dan terus bekerjasama rapat dengan negara-negara Arab dan negara-negara lain yang berminat dalam memajukan usaha diplomatik.
“Kami telah berusaha selama beberapa dekad untuk mencapai tahap ini, dan kami memutuskan untuk melakukannya tahun lalu,” katanya,
Dalam pada itu, Jose Manuel menekankan komitmen Mardid dalam menyokong menerusi bantuan kemanusiaan serta usaha pembinaan semula dan ia merupakan sebahagian dalam memastikan kehidupan rakyat Palestin kembali normal secepat mungkin.
Trump baru-baru ini mengumumkan bahawa Washington akan mengambil alih kawalan ke atas Gaza dengan mengatakan rakyat Palestin akan ‘lebih baik’ jika berpindah ke penempatan baru di negara-negara jiran, semasa sidang media bersama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih.
Isu ini merupakan antara topik utama dalam mesyuarat menteri-menteri luar G20 yang diadakan di Johannesburg pada 20-21 Februari, di mana Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide, dan Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares, menyuarakan bantahan mereka terhadap rancangan tersebut dalam kenyataan kepada Anadolu. -airtimes.my
#AirTimes #Norway #Spain #Palestine #Gaza #Israel