KUALA LUMPUR, 23 FEB – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menegaskan kerajaan seperti enggan berterus-terang berhubung kewajaran kos sewaan 28 buah helikopter yang diperolehi secara pajakan.
“Kerajaan kelihatan tidak mahu berterus-terang berkenaan apakah butiran sebenar kos keseluruhan RM16.6 bilion berdasarkan persetujuan kontrak antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. yang dimeterai pada 19 Disember 2024 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Portfolio Pertahanan (Perikatan Nasional) turut menyatakan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa perolehan helikopter melalui pendekatan biasa akan menyebabkan kelewatan adalah sebagai satu kenyataan yang mengelirukan.
“Naratif ini mengelirukan kerana bukankah pada tahun lepas juga Kerajaan turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan melantik secara rasmi Syarikat Savunma Teknolojileri Mühendislik ve Ticaret A.Ş (STM) dari Turkiye pada 10 Jun 2024 bagi perolehan terus Kapal LMS Batch 2 dengan nilai kos perolehan berjumlah RM4.0 bilion tanpa sebarang masalah,
“Sekarang Menhan (Menteri Pertahanan) menyatakan naratif Kerajaan tidak dapat menyediakan dana sepatutnya untuk perolehan helikopter secara terus untuk dilaksanakan,
“Tetapi dana dapat pula disediakan bagi mewajarkan satu kos yang tinggi untuk kaedah pajakan yang sangat meragukan walaupun sudah ada bukti kos sebenar pembelian terus oleh negara lain seperti Poland dan juga Filipina jauh lebih rendah berbanding kaedah pajakan GOCOM 2024 kita,” jelas Ikmal yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan.
Pada Khamis lalu, Menteri Pertahanan menyatakan bahawa pendekatan secara pajakan untuk 28 helikopter perlu dilakukan kerana proses perolehan secara biasa seperti dilakukan sebelum ini akan membawa kepada kelewatan perolehan.
Perkara yang sama turut dinyatakan oleh Khaled semasa menyampaikan bahas penggulungan Titah Diraja untuk Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat.
“Jika kita menunggu hanya untuk memperoleh aset melalui kaedah pembelian secara terus, adalah tidak mustahil kita akan terpaksa terus menunggu lebih lama atau mungkin kita langsung tidak akan mempunyai aset-aset strategik yang diperlukan negara sampai bila-bila sedangkan jika kita memilih pendekatan pajakan, kerajaan tidak perlu membayar pendahuluan atau membayar bayaran kemajuan atau progress payment dengan izin, ataupun mengeluarkan pembayaran modal CapEX,” kata Khaled Nordin berdasarkan Penyata Rasmi Parlimen yang bertarikh 20 Februari 2024.
Perolehan 28 buah helikopter untuk kegunaan kerajaan Malaysia pada ketika ini menjadi tumpuan berikutan terdapat pelbagai pelbagai persoalan yang timbul.
Selain Ikmal, perolehan helikopter ini turut dibahaskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menyatakan harga perolehan 28 helikopter oleh kerajaan adalah terlalu mahal berbanding pembelian 32 helikopter AW149 oleh Poland. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Helikopter