KUALA LUMPUR, 24 FEB – Ketua Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menegaskan kenyataan Menteri Pertahanan berhubung skop harga pembelian helikopter AW149 oleh Poland untuk pesawat sahaja adalah tidak tepat.
Beliau merujuk hujah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Khamis lalu yang menyatakan bahawa pembelian helikopter oleh Poland tidak merangkumi kos ‘maintanence, repair and overhaul’ (MRO).
“Setelah siasatan dibuat apa yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan ini bukan sahaja tidak benar sama sekali,
“Ini kerana kos RM8.86 bilion bagi pembelian sebanyak 32 buah helikopter jenis AW149 keluaran Syarikat Leonardo dari Itali oleh Kerajaan Poland juga merangkumi [1]kos selenggara, penyediaan alat-alat ganti, pembinaan kilang pemasangan di Poland, penyediaan pusat simulator latihan, kerja-kerja pemasangan senjata, usaha pemindahan teknologi, latihan juruterbang dan krew lapangan, pembangunan avionik pesawat, jaminan naik taraf seumur hidup dan banyak lagi,
“Bukan sebagaimana naratif yang cuba di bawa oleh Menteri Pertahanan dalam mempertahankan berkaitan kontrak GOCOM Malaysia dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd.,” kata Ikmal dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Tanah Merah itu menambah, perolehan oleh kerajaan Poland adalah berbeza dari apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia pada ketika ini.
“Poland membeli terus daripada syarikat pengeluar helikopter iaitu Leonardo, manakala kontrak GOCOM Malaysia adalah perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd.,” ujar beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan.
Semasa menyampaikan Bahas Penggulungan Titah Diraja, Khaled menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ikmal dan juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengkritik kos perolehan untuk 28 helikopter sewa oleh kerajaan Malaysia adalah terlalu mahal.
“Kalau kita mengambil harga yang dibayar oleh Poland tersebut sebagai rujukan dan asas untuk membeli secara terus 28 helikopter yang diperlukan oleh pelbagai agensi ini memang kita perlu membayar kira-kira RM7.5 bilion,
“Sepintas lalu, nilai ini mungkin kedengaran murah berbanding harga yang dibayar oleh kerajaan iaitu RM16.6 bilion,
“Tetapi realitinya, harga tersebut hanyalah harga pembelian helikopter. Manakala RM16.6 bilion di bawah kontrak pajakan ini merangkumi pakej menyeluruh selama 15 tahun yang merangkumi antara lain penyelenggaraan dalam dan luar pangkalan seperti MRO dan simpanan alat-alat gantian,” kata Menteri Pertahanan.
Menurut Ikmal, perincian kos perolehan oleh Poland adalah berdasarkan kenyataan rasmi oleh pihak Leonardo pada Jun 2024.
Menurut syarikat pengeluar helikopter dari Itali itu, pakej perolehan AW149 oleh Poland merangkumi logistik, latihan dan pakej simulator.
“Pakej logistik merangkumi stok alat ganti dan bahagian boleh guna, serta peralatan untuk pengendalian darat helikopter,
“Pakej latihan dan simulator merangkumi latihan menyeluruh bagi juruterbang dan kakitangan teknikal serta penghantaran satu set simulator canggih dan peralatan latihan,” kata kenyataan oleh Leonardo yang bertarikh 10 Jun 2024. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #Helikopter