KUALA LUMPUR, 19 FEB – Lagi dakwaan dikatakan cubaan untuk menghidupkan ideologi komunis secara halus.
Kali ini menerusi ukiran wajah pemimpin agung Parti Komunis China, Mao Zedong bersama nukilan puisi yang dipamerkan di sebuah memorial di Semenyih, Selangor.
Ia didedahkan seorang wanita yang memuat naik satu video di laman sosial Facebook dan TikTok atas nama Pertubuhan Tuidang Malaysia.
Antara petikan video tersebut menyebut:
“Hari ini saya nak kongsikan sesuatu yang mengejutkan! Di Nirvana Semenyih, AJK Pertubuhan Tuidang Malaysia ternampak sebuah batu dengan puisi dan gambar Mao Zedong terpahat di situ.
“Puisi ini dipaksa untuk dihafal oleh rakyat China, tetapi selepas dikaji, rupanya tarikh dan tempat dalam puisi ini tidak tepat!
“Ini menunjukkan ciri utama Parti Komunis China (PKC): palsu, kejam, dan suka mencetuskan konflik.
“Bukan itu saja, puisi ini juga menyerang tuhan, maharaja dan pemimpin lama, seolah-olah hanya Mao yang hebat!
“Ini taktik biasa komunis, memutarbelitkan dan menghancurkan sejarah, menyerang orang lain, dan menaikkan diri sendiri sebagai tuhan.
“Sejarah sebenar dipadam, hanya naratif PKC yang dibenarkan!,”
Menurut wanita itu, AJK Pertubuhan Tuidang Malaysia telah membuat laporan polis mengenai batu ini di Balai Polis Cheras pada 16hb Februari 2025 kerana ia jelas menyebarkan propaganda komunis.
Tegasnya, Malaysia menolak komunisme dan tidak boleh membiarkan ideologi ini menyusup masuk ke negara kita.
Sementara itu, media melaporkan, pihak polis telah menerima laporan berkaitan perkara tersebut
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan dibuat wanita tempatan berusia 40 tahun pada pukul 4.16 petang kelmarin.
Katanya, sehingga kini polis telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Di Malaysia, ideologi komunisme adalah diharamkan, malah menolak sebarang cubaan untuk menyuburkan pengaruh tersebut walau dalam apa keadaan sekalipun.
Malaysia juga merupakan satu-satunya negara di dunia yang berjaya memerangi pengganas komunis menerusi operasi ketenteraan dan penolakan rakyat secara total. – airtimes.my
#AirTimes #Semasa #Semenyih
